KUALA LUMPUR: CUEPACS meminta semua pihak, khususnya penjawat awam tidak memanjangkan isu penamatan tugas Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) kerana keputusan dibuat berdasarkan dapatan jawatankuasa siasatan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berharap ketetapan itu dihormati dan menyeru semua pihak mengambilnya sebagai satu pengajaran yang berguna.
Beliau berkata, pihak luar juga disarankan supaya isu penamatan tugas KPPA tidak dipolitikkan kerana dibimbangi ia boleh mengelirukan mana-mana pihak.
"Dalam hal ini, CUEPACS menyeru semua pihak terutama warga perkhidmatan awam untuk terus bergerak ke hadapan dan tidak memanjang isu penamatan perkhidmatan ini sehingga menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.
"Selari keputusan penamatan yang diambil melalui prosedur Penamatan Demi Kepentingan Awam, semua pihak perlu menghormatinya. Keputusan sudah dibuat oleh kerajaan bersandarkan hasil dapatan daripada jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata, prinsip yang beliau titipkan itu penting kerana suasana harmoni dan persekitaran kerja yang positif memberi kesan kepada mutu perkhidmatan cemerlang.
Justeru, beliau berharap isu berkenaan tidak dibangkitkan lagi kerana bimbang boleh menjejaskan hubungan permuafakatan atau kerjasama erat sesama rakan sekerja.
"Hormatilah antara satu sama lain kerana kita semua dalam perkhidmatan awam mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara," katanya.
Bagi pegawai lantikan politik dalam perkhidmatan awam, Adnan menyarankan mereka perlu menjadikan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panduan.
Katanya, Perdana Menteri sudah memberi panduan mereka yang berada dalam Kerajaan Perpaduan perlu menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam dalam usaha pemulihan negara.
"Sudah tentu sikap hormat-menghormati menjadi asas utama bagi membentuk sebuah permuafakatan yang baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Hubungan antara kakitangan tidak mengira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan yang cemerlang.
"Oleh itu, CUEPACS berharap semua penjawat awam menyahut seruan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang kita cintai," katanya.