KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyegerakan perolehan kamera badan bagi kegunaan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata peruntukan sebanyak RM30 juta sudah diluluskan bagi tujuan itu.
Beliau berkata, penggunaan kamera badan bagi tujuan penguatkuasaan adalah perlu buat masa ini dan bajet sesuai untuk tujuan itu juga sudah diperuntukkan.
"Keperluan bajet bagi proses perolehan ini membabitkan beberapa kementerian, khususnya Kementerian Kewangan. Saya difahamkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), mereka akan terus menyusul dengan tindakan.
"Ia bagi memastikan supaya ia (perolehan) akan disegerakan. Kita tiada kawalan terhadap aspek itu. Kita harap kerenah yang melambatkan akan dapat diatasi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan sesi taklimat bersama pengurusan kanan PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Samsul Annuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Sementara itu, menjawab kenyataan Lawyers for Liberty, yang mendakwa beliau tidak menerima pandangan mengenai penganiayaan tahanan di Pusat Tahanan Kimanis di Sabah, Saifuddin berkata, pihak berkenaan perlu mengambil kira kedudukannya yang baru memulakan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri.
"Saya menyanggah (kenyataan) pihak Lawyers for Liberty. Mereka harus tengok rekod saya yang lepas. Mereka sendiri pun tidak pernah mohon mahu jumpa saya. Macam mana mahu kata saya tak boleh terima pandangan.
"Pada peringkat awal, sebagai menteri yang baru memulakan tugas, munasabah bagi kami untuk dengar taklimat dulu, bukan bermaksud kami menerima sepenuhnya (maklumat yang diberi). Tentu kami ada aspek yang kami akan bagi pandangan.
"Kami akan menemui jabatan berkenaan, termasuk Jabatan Imigresen. Baru hari kelima masuk pejabat, Lawyers for Liberty boleh senang-senang sebut begitu, dia kena semak kenyataan dia sendiri," katanya.
Dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek, membidas jawapan Saifuddin terhadap dakwaan penganiayaan terhadap tahanan di Pusat Tahanan Kimanis di Sabah.
Beliau menyatakan adalah tidak boleh diterima dan bertentangan dengan tadbir urus yang baik bagi Kementerian Dalam Negeri untuk menolak mentah-mentah aduan serius melalui klip video oleh seorang tahanan.
Minggu lalu, tular sebuah video memaparkan tahanan di Depoh Imigresen Kimanis, yang didakwa dilayan dengan teruk sehingga mengalami isu kesihatan.