Selasa, 13 Disember 2022 | 1:59pm

IPCC berkuat kuasa Jun tahun depan

KUALA LUMPUR: Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) akan dikuatkuasakan mulai Jun tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mengenai tarikh penguatkuasaan akta itu.

"Bersama-sama Datuk (Seri) Wan Ahmad (Dahlan), kita sudah bincang dan ia akan berkuat kuasa pada Jun depan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan serta menghadiri sesi taklimat dengan pengurusan kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada 26 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) IPCC 2020 untuk mempertingkat integriti pasukan PDRM, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggotanya, serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis.

Sebelum dibentang di Parlimen, proses penggubalan IPCC membabitkan libat urus dengan seramai 1,059 orang, selain sesi taklimat bersama pimpinan tertinggi PDRM, persatuan bekas polis, wakil KDN serta Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan). - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan). - NSTP/Asyraf Hamzah

IPCC memberi fokus kepada penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan, manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut peruntukan sedia ada dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas perbandingan dibuat antara Independent Office for Police Conduct (United Kingdom) dan Independent Police Complaints Council (Hong Kong), yang mana negara berkenaan mempunyai badan pemantau bebas.

Keanggotaan IPCC terbuka kepada semua individu, termasuk penjawat awam dan pesara polis, yang dipilih berdasarkan kelayakan pengetahuan, kemahiran, pengalaman serta apa-apa perkara lain akan ditentukan kemudian.

Bagi membolehkan siasatan IPCC dijalankan secara inklusif serta komprehensif, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) boleh dijemput untuk bekerjasama dengan pasukan siasatan IPCC, terutama bagi kes kematian dalam tahanan.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, polis mematuhi segala proses penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747), dan undang-undang berkenaan akan terus digunakan bagi menjamin keselamatan rakyat.

"Saya mahu mengulangi bahawa apabila tangkapan dibuat, sudah tentu ia berasaskan maklumat risikan ke atas kumpulan atau kegiatan yang membawa kemudaratan dan ancaman pada keselamatan rakyat. Itu menjadi asas kepada tindakan polis kalau letak bawah SOSMA. Dia harus mengikut segala proses yang dibenarkan oleh SOSMA.

"Ketika ini, proses itu dipatuhi, malah terdapat juga (individu ditangkap bawah) SOSMA yang ditahan dan dilepaskan atau diadili di mahkamah serta menang melalui khidmat peguam, itu pun ada. Tidak semua tahanan SOSMA berakhir dengan berada di dalam penjara, sebab proses terbabit dipatuhi," katanya.

IPCC berkuat kuasa Jun tahun depan. - Foto hiasan
IPCC berkuat kuasa Jun tahun depan. - Foto hiasan
Berita Harian X