IPOH: Wakil rakyat di Perak berisiko ditarik semula tauliah mengajar agama jika gagal mematuhi pekeliling mengenai larangan mengadakan aktiviti berbaur politik dan menyampaikan kuliah agama di masjid, surau dan surau di negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pekeliling dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu sudah cukup jelas menyatakan larangan orang politik berucap dalam masjid serta surau.
Saarani, yang turut menerajui portfolio EXCO Agama Islam negeri, berkata beliau juga tidak menggunakan kapasitinya sebagai Menteri Besar dan EXCO Agama Islam negeri untuk berucap di mana-mana masjid dan surau biarpun dijemput berbuat demikian.
"Sebagai Exco Agama Islam, banyak kali juga saya menghadiri solat Jumaat dan pengerusi masjid bangun menjemput saya berucap.
"Tetapi, saya kekal berpegang kepada titah Sultan Nazrin itu, maka saya minta maaf dan menolak untuk berucap kerana saya tahu mengenai pekeliling itu.
"Sebab saya orang politik, termasuklah mana-mana wakil rakyat, yang sebelum ini adalah pemegang tauliah mengajar atau 'ustaz' yang menyampaikan kuliah agama. Sekarang, sudah jadi wakil rakyat, bermakna dia juga orang politik.
"Jika masih ingkar kepada titah Tuanku (Sultan Nazrin), mungkin tauliah mereka ditarik balik. Kita tengoklah nanti, mungkin JAIPk akan memeriksa kembali (mengenai tauliah mengajar agama dalam kalangan wakil rakyat)," katanya.
Beliau ditemui selepas sesi bual bicara langsung Selamat Pagi Cikgu Saarani di stesen radio Perak FM, di Kompleks Penyiaran Malaysia Negeri Perak, Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, hari ini.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, di Facebook, kelmarin, yang mempersoalkan kewajaran ADUN Manjoi, Hafez Sabri daripada Perikatan Nasional (PN) menyampaikan kuliah agama di sebuah masjid di Kampung Seri Klebang, Klebang, di sini.
Menerusi hantaran yang turut disertakan bersama poster iklan program kuliah agama itu dan tangkap layar pekeliling JAIPK, Hasnul Zulkarnain mendakwa, beliau menerima aduan daripada seorang jemaah masjid itu mengenai program kuliah oleh Hafez, yang juga Ketua Pemuda PAS Perak.
Berdasarkan pekeliling bertarikh 26 Oktober 2022 itu, dinyatakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pada 24 Oktober 2019, tidak membenarkan sebarang aktiviti politik diadakan di premis masjid atau surau, sama ada daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.
Larangan itu termasuk menyampaikan sebarang bentuk ucapan dan paparan lambang serta nama parti di premis terbabit.
Pekeliling yang ditandatangani Timbalan Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim itu turut menyatakan, larangan berkenaan terpakai kepada sesiapa sahaja yang menjadi ejen, wakil, memegang jawatan atau calon bagi mana-mana parti politik.