PUTRAJAYA: Kehadiran luar biasa berlaku di pejabat permohonan pasport di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas pejabat pengeluaran pasport di seluruh Selangor ditutup hari ini, berikutan cuti umum di negeri itu serta cuti persekolahan yang bermula hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata berikutan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai untuk berurusan ke pejabat pasport di luar Lembah Klang dan kurang sesak bagi urusan permohonan pasport.
Pada masa sama, beliau berkata, orang awam juga boleh berurusan di Seremban, Melaka, Cameron Highlands, Raub, Kuala Langat, Kuala Kubu Bharu, Pengkalan Hulu, Mersing, Kukup dan Kangar.
"Selain itu, bagi mereka yang tidak mempunyai keperluan mendesak atau kecemasan, diminta menangguhkan dulu urusan permohonan pasport dan memohon di luar waktu puncak.
"Jabatan ini menasihatkan orang ramai tidak mengambil sikap menunggu hingga ke saat akhir dan perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kesesakan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, orang ramai juga dijemput menyertai saluran Telegram rasmi Jabatan Imigresen bagi urusan permohonan pasport untuk sebarang pertanyaan di pautan https://t.me/PejabatPasport.
Sementara itu, difahamkan, operasi di pejabat pengeluaran pasport di Putrajaya mampu mengendalikan sehingga 500 pemohon sehari dengan semua kaunter dibuka bagi memudahkan orang awam berurusan.
BH juga dimaklumkan, kesesakan berlaku berikutan ramai yang mahu membuat pasport antarabangsa selepas hampir tiga tahun tidak dapat berbuat demikian susulan penutupan sempadan ketika seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19.