Ahad, 11 Disember 2022 | 11:25pm
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan UMNO
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan UMNO

'Seseorang' selamatkan UMNO daripada diharamkan - Ahmad Zahid

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan cubaan untuk mengharamkan UMNO pernah 'dipatahkan' seseorang.

Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak mendedahkan identiti sebenar 'seseorang' yang beliau maksudkan itu.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah matlamat dan objektif penubuhan BERSATU untuk menggantikan UMNO tercapai, selepas memperoleh kemenangan 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Saya telah bagi tahu daripada awal-awal bahawa matlamat penubuhan BERSATU jelas secara tersurat dan tersirat untuk membunuh UMNO. Jelas bahawa di dalam PRU15, matlamat ini sebenarnya jauh daripada sasaran mereka.

"Kita harap, ini akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat, khususnya ahli-ahli akar umbi bahawa tujuan halus mereka itu mesti ditolak ahli-ahli UMNO keseluruhannya.

"Kita tahu bahawa matlamat mereka lebih jauh daripada itu sebenarnya, apabila buat pertama kalinya ketika seseorang menjadi Menteri Dalam Negeri, yang di atas mejanya telah ada surat untuk mengharam dan membatalkan UMNO.

"Namun kita telah mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang telah dapat membatalkan hasrat itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulangtahun ke-10 Persatuan Usahwan Wanita Cina Malaysia (WCWEA) di sini, malam ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri). - Gambar NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri). - Gambar NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Berita Harian X