KOTA KINABALU: Satu permuafakatan menggabungkan dua menteri dan tujuh timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan Persekutuan dari Sabah dicadang bagi mengukuhkan usaha membela hak rakyat negeri ini.
Ketika menyuarakan cadangan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata ia penting bagi membantu menjayakan wawasan Kerajaan Perpaduan, terutama berkaitan kepentingan rakyat Sabah.
Katanya, beliau akan mencadangkan perkara itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali agar mereka bersama tujuh timbalan menteri dapat mengadakan perjumpaan secara konsisten untuk berbincang mengenai hal negeri ini.
"Kita akan berbincang bagaimana cara terbaik untuk kita mengangkat hak-hak Sabah dalam pimpinan Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan, di sini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, berkata beliau akan bekerjasama dengan Armizan dan semua timbalan menteri dari Sabah dalam membawa pembangunan dan kemajuan di negeri.
Pada masa sama, katanya, agenda paling penting iaitu menuntut hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia (MA63) juga ditekankan dalam kerjasama itu.
"Saya fikir ini yang wajar dan perlu kita laksanakan. Permuafakatan yang konsisten dan membincangkan hak-hak Sabah, seterusnya sama-sama mengangkat untuk diambil tindakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri dan Kerajaan Perpaduan," katanya.
Sementara itu, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pelantikan tujuh timbalan menteri dari Sabah yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertuan Agong, semalam.
Beliau menyifatkannya sebagai satu jumlah yang besar dan tidak pernah ada dalam pimpinan kerajaan sebelum ini.
"Walaupun secara peribadi saya ingin melihat lebih banyak pelantikan menteri dan timbalan menteri dari Sabah, namun apa yang penting ialah pelantikan sudah dibuat dan masanya untuk semua yang dilantik bekerja keras untuk rakyat Sabah," katanya.
Semalam, tujuh Ahli Parlimen dari Sabah dengan tiga daripadanya mewakili Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Tiga Ahli Parlimen BN Sabah itu ialah Datuk Siti Aminah Aching (UMNO-Beaufort) dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Mohamad Alamin (UMNO-Kimanis) sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Arthur Joseph Kurup (PBRS-Pensiangan) sebagai Timbalan Menteri Sains dan Teknologi.
Pakatan Harapan (PH) Sabah pula diwakili dua Ahli Parlimen, iaitu Chan Foong Hin dari DAP (Kota Kinabalu) dan Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud (PKR), masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Seorang wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, manakala Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal (WARISAN) dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.