PUTRAJAYA: Perjanjian persefahaman secara hitam putih yang turut menyatakan jangka masa sokongan gabungan parti politik kepada Kerajaan Perpaduan perlu disegerakan bagi mengelak sebarang situasi 'kegentingan' kepada kerajaan.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata dengan adanya perjanjian itu, ia akan memberi isyarat sokongan kukuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menstabilkan kerajaan dan negara.
"Keputusan UMNO dan BN adalah pragmatik, menepati titah Yang di-Pertuan Agong supaya bersama-sama membantu apa jua kerajaan yang dibentuk ketika ini dan BN mengambil keputusan untuk bersama-sama dengan PH
"Jadi itu adalah keputusan yang harus dihormati kerana BN yang mempunyai 30 kerusi itu walaupun sedikit berbanding parti lain tetapi dikatakan sebagai penentu blok manakah yang akan membentuk kerajaan.
"Bagi saya, memang betul sokongan BN terutama sekali parti komponen lain perlu diberikan kepada Anwar, namun jangka masa sokongan itu perlu dinyatakan secara hitam putih... dua tahun, tiga tahun, empat tahun ataupun lima tahun kerana tanpa janji ini (kemungkinan) maksudnya kerajaan ini akan runtuh pada bila-bila masa," katanya kepada BH hari ini.
Beliau berkata, kegentingan itu akan sentiasa ada, jadi perlu dielakkan supaya Perdana Menteri dapat menumpukan perhatian yang sepatutnya dalam memastikan kerajaan melaksanakan tanggungjawab.
"Jadi itu pentingnya jangka masa kerana memberi jaminan jangka masa ini bukan sesuatu yang pelik.
"Contohnya ketika ini kita lihat kerajaan Kanada pimpinan Perdana Menteri, Justin Trudeau, yang mana parti Liberalnya memasuki penggal kedua menjadi kerajaan minoriti tetapi masih dapat bertahan.
"Ini kerana pembangkang memberi jaminan mereka akan menyokong parti sekarang ini sehingga 2025, ada jangka masa tiga tahun supaya kerajaan pimpinan Trudeau dapat melaksana tugasnya.
"Jadi sama juga dalam hal ini (sokongan kepada Kerajaan Perpaduan), jangka masa itu amat penting sekali," katanya.
Mengenai sama ada peranan MCA dan MIC akan tersisih dengan adanya DAP dalam Kerajaan Perpaduan, Azmi berkata, ini adalah masa terbaik dua parti komponen BN itu untuk memberi satu persepsi bahawa mereka juga mampu menjaga kepentingan masyarakat Cina atau India.
"Dalam hal ini, gunalah kesempatan ini, jangan merajuk umpamanya tidak mahu menerima lantikan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet, itu adalah budi bicara Presiden PKR yang juga Perdana Menteri.
"BN mungkin tidak mengemukakan senarai calon daripada MCA, MIC tetapi itu adalah hakikatnya, gunakanlah sebagai dalam blok kerajaan ini untuk menyatakan mereka boleh mendapatkan keyakinan orang Cina seperti DAP... buktikan bahawa mereka boleh menjadi kuat seperti DAP dalam blok PH," katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata pilihan UMNO dan BN yang perlu meneroka jajaran baharu kerana mahu bergerak ke hadapan sesuai dengan landskap politik masa depan.
"Sekiranya UMNO dan BN tidak menerokai jajaran baharu yang kekal maka masa depan BN, UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-16 akan seperti Pilihan Raya Umum Ke-15, mereka akan hilang kekuasaan politik," katanya.
Beliau berkata, dua komponen dalam BN, iaitu MCA dan MIC pula perlu perlu memikirkan jalan terbaik untuk memastikan mereka tidak terlalu bergantung undi Melayu UMNO untuk menang pilihan raya seperti selama ini.
"Selama ini MCA, MIC sangat terlalu bergantung undi Melayu UMNO. Parti komponen itu perlu lebih fokus untuk menarik undi Cina dan India untuk memastikan terus relevan termasuk dalam menuju PRU16," katanya.
Pada Isnin lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menyatakan satu perjanjian gabungan membabitkan parti dalam kerajaan akan ditandatangani dalam masa terdekat.
Katanya, beberapa siri perbincangan mengenai perjanjian itu sudah diadakan.
Dalam kenyataan berasingan, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberitahu perjanjian itu bakal ditandatangani bersama pada minggu hadapan, membabitkan PH, BN serta parti dari Sabah dan Sarawak.