ALOR SETAR: Kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang mengenai langkah perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya, disifatkan sebagai provokatif dan ekstrimis.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata kenyataan Kit Siang yang menyebut langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2032 iaitu 10 tahun dari sekarang" adalah tuduhan berat berniat jahat, hasutan bagi membangkitkan isu perkauman berasaskan agama dan perlu disiasat pihak berkuasa.
Beliau menegaskan yang kenyataan itu jelas menunjukkan Kit Siang seorang yang tidak memahami Perlembagaan Malaysia yang menggariskan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, malah menjadi agen penyuntik Islamophobia dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
"Jelas, tiada pembohongan seperti yang dicanangkan beliau tetapi ketelusan pemimpin berjiwa rakyat seperti Presiden Pas, Pengerusi Perikatan Nasional dan Menteri Besar Kedah menyebabkan rakyat terbuka bagi menerima dan akhirnya banyak kerusi UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tumbang dengan majoriti yang sangat besar.
"PN enggan membentuk kerajaan perpaduan bukan kerana membantah cadangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti yang difitnah oleh PH dan BN, sebaliknya enggan berkompromi dengan kluster mahkamah yang disifatkan seperti "enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ahmad Tarmizi berkata, ia sangat mementingkan diri sendiri dan sanggup menggadaikan prinsip keadilan serta mengabaikan kehendak rakyat yang menolak kerakusan pemimpin yang terpalit dengan rasuah.
Beliau berkata, kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) dalam merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH dengan majoriti 16,260 turut menterjemahkan penolakan dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH-BN yang tidak telus, bahkan sanggup berkompromi sehinggakan terpaksa melantik kluster mahkamah menjawat jawatan penting dalam Kabinet demi kelangsungan kuasa mereka.
"Malah kemenangan 74 kerusi Parlimen dalam 'Gelombang PN Best' ini menandakan suatu permulaan yang menggetarkan kerajaan PH dan BN sehingga terpaksa menyekat video pro PN dalam media sosial seperti TikTok dan akhirnya menjerumuskan kerajaan PH dan BN ini sebagai rejim yang cakap tidak serupa bikin.
"Ia juga tidak menjamin kebebasan media seperti yang dijanjikan bahkan bersifat 'double standard', apabila tiada tindakan sekatan dibuat bagi kenyataan provokatif penyokong PH dan BN di media sosial yang lain seperti Twitter.
Ahmad Tarmizi berkata, "Gelombang PN Best" membawa maksud kesejahteraan kepada rakyat secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan agama, pendekatan Pas yang menekankan aspek prinsip menjadikan ia wadah bagi memantapkan pegangan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini.