Ahad, 11 Disember 2022 | 12:27pm
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, ketika sesi soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini. NSTP/Ihsan MEDKOM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, ketika sesi soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini. NSTP/Ihsan MEDKOM

Lebih RM60 juta peruntukan perkasa status Johor pengeluar makanan utama

ISKANDAR PUTERI: Lebih RM60 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan dan Johor bagi memperkasakan sektor pertanian negeri ini, yang juga antara pengeluar makanan utama negara, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata peruntukan yang disalurkan menerusi lapan agensi dan agensi kerajaan itu bagi melaksanakan 149 program pembangunan sektor pertanian di Johor.

Katanya, aktiviti pertanian yang dirangka kerajaan Johor juga telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 18,000 pengusaha dalam pelbagai subsektor pertanian di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah melaksanakan sebanyak 46 projek insentif menerusi peruntukan sebanyak RM32 juta, tahun ini.

"Insentif ini memberi manfaat secara langsung kepada 10,959 orang usahawan tani menerusi insentif pembangunan tanaman makanan, pembangunan industri asas tani dan pembangunan modal insan.

"Projek itu dilaksanakan menggunakan tiga sumber peruntukan iaitu daripada kerajaan Negeri (RM10 juta), kerajaan Persekutuan (RM13.9 juta) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM7.9 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ee Chin Li (PH-Tangkak) mengenai skim bantuan yang disediakan kepada petani dan sejauh manakah keberkesanan bantuan itu.

Mengulas lanjut, Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut berperanan dalam usaha membantu dan memperkasa petani dan peladang dalam menjalankan aktiviti pertanian.

Katanya, antara program yang dilaksanakan LPP ialah Geran Agropreneur Muda, Program Rise Up, Program E Setelite dan Program Agriprentice.

"Keseluruhannya, LPP pada tahun ini menerusi empat program berkenaan memperuntukkan RM6,189,500 dan memberi manfaat kepada 119 peserta.

"Kerajaan amat prihatin membantu dan memperkasa para petani selain menjaga kebajikan para petani dan pemain industri. Skim bantuan ini bertujuan meningkatkan produktiviti hasil pertanian secara optimum dengan pendekatan yang baharu dan efektif.

"Insentif ini juga bertujuan bagi negeri Johor mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi lima tahun iaitu meningkatkan pengeluaran industri tanaman makanan utama, memperkasa usahawan industri asas tani dan usahawan belia tani," katanya.

Berita Harian X