KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa mengakui, menerima pelawaan daripada pemimpin PAS untuk hadir kenduri kesyukuran di Kota Bharu dan Tumpat hari ini dan malam ini.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang dipecat itu, berkata beliau menolak pelawaan itu berikutan baharu sahaja tiga hari dipecat sebagai ahli UMNO.
"PAS mengajak saya untuk hadir kenduri di Tumpat dan Kota Bharu. Jika hadir, mereka (PAS) minta saya bersyarah (berceramah) di Tumpat malam ini, tetapi saya tidak terima sebab baru bercerai tiga hari lalu (dengan UMNO).
"Kena tunggu lepas edah dahulu. Jangan cepat sangat kerana saya bukan begitu," katanya secara berseloroh ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Cawangan UMNO Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Padang Kala di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Annuar adalah di antara tiga pemimpin akar umbi parti itu yang dipecat keahlian masing-masing oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata MKT UMNO mengambil tindakan itu mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.
Beliau berkata, ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.
"Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib," katanya.