KUALA LUMPUR: Wakil Barisan Nasional (BN) yang dilantik sebagai timbalan menteri akan mempertaruhkan pengalaman dan kepakaran masing-masing bagi membantu dan merealisasikan hasrat rakyat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata wakil BN akan memikul amanah diberi bersama-sama pelbagai parti lain untuk memastikan aspirasi rakyat dan negara dapat dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Tegasnya, perbezaan antara parti dalam kerajaan akan diraikan dan mencari kesepakatan bagi memastikan kejayaan negara.
"Tahniah diucapkan kepada pemimpin BN yang ditaklifkan amanah sebagai timbalan menteri Kerajaan Perpaduan.
"Kepelbagaian dan perbezaan yang ada diraikan dengan semangat untuk mencari kesepakatan membina negara bangsa yang berjaya.
"Pengalaman dan kepakaran dipertaruhkan untuk menyantuni kehendak dan aspirasi rakyat Malaysia. Tahniah dan selamat bertugas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri, dengan enam daripadanya mewakili BN iaitu Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Menteri Kewangan; Siti Aminah Aching (Beaufort) sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi serta Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) sebagai Timbalan Menteri Sains dan Teknologi.
Selain itu, Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya; Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) sebagai Timbalan Menteri Luar.
Secara keseluruhan, BN memiliki 12 wakil yang dilantik sebagai anggota pentadbiran kerajaan, selepas Anwar sebelum ini melantik enam wakil parti itu sebagai menteri, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid turut menggalas jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, di samping Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi); Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar).
Selain itu, Datuk Seri Azalina Othman dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), selain Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dipilih sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.