KOTA KINABALU: Satu-satunya wakil wanita dari Sabah dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Datuk Siti Aminah Aching, menyatakan komitmennya dalam melaksanakan amanah baharu selaku Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.
Ahli Parlimen Beaufort itu berkata, sebagai antara sektor utama ekonomi negara, aktiviti perladangan dan komoditi memerlukan perhatian yang lebih dalam usaha meningkatkan sumbangannya kepada pendapatan negara.
Katanya, tumpuan juga perlu diberikan dalam meningkatkan prestasi sektor itu, khususnya di Sabah sebagai negeri perladangan yang penting, sejajar usaha menambah baik taraf sosio ekonomi rakyat negeri ini.
"Pelantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab besar dalam memajukan lagi sektor perladangan dan komoditi, khususnya di Sabah.
"Sebagai sebuah negeri pertanian, sudah tentu saya ingin melihat pembangunan sektor perladangan dan komoditi berkembang secara mapan dan mampu meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat di Sabah," katanya dalam maklum balasnya selepas diumumkan antara yang dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinannya dengan tujuh daripadanya dari Sabah, termasuk Siti Aminah.
Ketua Wanita UMNO Beaufort itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Anwar atas kepercayaan melantiknya sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi di bawah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selaku menterinya.
Siti Aminah berkata, walaupun pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi sebagai sesuatu yang baharu namun beliau bertekad untuk memberikan khidmat yang terbaik, gigih bekerja demi rakyat dan negara.
"Kita sedar dan insaf selepas negara berdepan pandemik COVID-19, keadaan ekonomi negara turut terjejas termasuklah golongan yang terbabit dalam sektor perladangan dan komoditi.
"Justeru tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. InsyaAllah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya," katanya.
Dalam hal berkaitan, Siti Aminah berkata beliau juga akan memberi perhatian kepada nasib golongan pekebun kecil kelapa sawit dan getah serta komoditi lain, terutama di Sabah yang berdepan masalah harga komoditi yang rendah dan tidak menentu.
"Secara kebetulan, kementerian ini berhubung kait dengan pekebun kecil dan sudah pasti saya akan memperjuangkan masalah yang dihadapi mereka terutama berkaitan harga pasaran yang dilihat rendah dan perlu dinaikkan," katanya.