Sabtu, 10 Disember 2022 | 9:56am
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, memantau keadaan ombak berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Miami, Seberang Takir, malam tadi. NSTP/Ghazali Kori
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, memantau keadaan ombak berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Miami, Seberang Takir, malam tadi. NSTP/Ghazali Kori

2 sungai lepasi paras amaran, 3 paras waspada

KUALA TERENGGANU: Dua sungai direkodkan melepasi paras amaran manakala tiga lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada di Terengganu.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat jam 9 pagi tadi, Sungai Nerus di Kampung Langkap, dan Sungai Nerus di Kampung Bukit di daerah Setiu direkodkan melepasi paras amaran.

Ketika ini, Sungai Nerus di Kampung Langkap, dan Sungai Nerus di Kampung Bukit masing-masing merekodkan bacaan 20.46 meter (m) dan 13.08m berbanding paras normal 17m dan 6m.

Tiga lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras waspada adalah di daerah Setiu, Hulu Terengganu dan Marang.

Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu kini direkodkan berada pada paras waspada dengan bacaan 7.61m berbanding paras normal 5.5m.

Di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping mencatatkan bacaan 17.97m manakala di Marang, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan kini mencatatkan bacaan 2.04m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu hingga hari ini.

Menurut kenyataan itu, di Terengganu, ia membabitkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Berita Harian X