KUALA NERUS: Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dinaiki air dinasihatkan tidak berlengah untuk berpindah sekiranya penempatan ditenggelami air.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Lt Kol (PA) Mohd Rosman Abdullah, berkata sekiranya arahan berpindah dikeluarkan pihak berkuasa, penduduk perlu segera berpindah.
"Jangan tunggu air naik baru nak pindah dan elakkan berpindah pada waktu malam kerana proses pemindahan pada waktu malam menimbulkan pelbagai masalah dan kesukaran kepada pasukan penyelamat untuk melakukan operasi," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemantauan air pasang besar di Pantai Miami, Seberang Takir, di sini, malam ini.
Beliau berkata, fenomena air pasang besar yang bermula semalam dijangka berakhir Rabu ini dengan ketinggian ombak boleh mencapai antara 2.7meter (m) hingga 2.9m.
"Air pasang besar dijangka berlaku antara jam 10 malam hingga 1.30 pagi dan jika berlaku pertembungan hujan lebat, kawasan rendah seperti berhampiran sungai dan tali air berisiko berlaku banjir.
"Justeru, saya menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan amaran pihak berkuasa.
"Mereka (penduduk) juga hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan arahan pihak berkuasa memandangkan amaran hujan lebat berterusan membabitkan enam negeri termasuk Terengganu akan berakhir esok.
"Saya nasihatkan penduduk supaya dapatkan maklumat sahih berkaitan amaran bencana yang disalurkan melalui pelbagai medium," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai jangan jadikan fenomena ombak besar sebagai 'pesta air' dengan mengunjungi kawasan pantai bagi melihat ombak.
"Jauhi kawasan pantai kerana dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan ombak besar sebarang kemungkinan kejadian tidak diingini boleh berlaku," katanya.
Sementara itu, susulan hujan lebat bermula tengah malam tadi, sebanyak tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di empat daerah terjejas.
Lima PPS itu membabitkan masing-masing dua di Kuala Terengganu, Setiu dan daerah ini Serta satu di Besut dengan mangsa banjir keseluruhan seramai 339 orang.