Jumaat, 9 Disember 2022 | 7:53pm
Orang awam menunggu bas perantara di Stesen LRT Kelana Jaya. - NSTP/AZIAH AZMEE
Orang awam menunggu bas perantara di Stesen LRT Kelana Jaya. - NSTP/AZIAH AZMEE

Pengguna minta tambah kekerapan bas perantara ke stesen LRT

KUALA LUMPUR: Orang ramai meminta perkhidmatan bas perantara ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) ditambah, terutama pada waktu puncak, bagi menampung keperluan pengguna yang bergantung pada pengangkutan awam itu.

Pengguna, V Thevagi, 34, berkata beliau sering berdepan kesulitan untuk ke stesen LRT apabila pulang dari kerja berikutan kekerapan bas itu sangat kurang.

"Saya menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan bas kerana mahu mengelak daripada memandu dalam kesesakan jalan raya. Namun apabila mahu ke stesen LRT Kelana Jaya selepas habis kerja, bas perantara tiada atau terpaksa menunggu sangat lama sehingga terpaksa meminta pertolongan rakan sekerja untuk menghantar saya ke sana.

"Justeru, saya berharap kekerapan bas perantara di sekitar Kelana Jaya dapat ditambah, terutama ketika waktu puncak, kerana orang ramai pulang dari kerja," katanya.

Thevagi berkata, beliau memilih untuk menaiki LRT dan bas awam kerana lebih menjimatkan masa serta penggunaan petrol berbanding memandu kereta sendiri.

Namun, katanya, beliau terpaksa menunggu bas RapidKL antara 10 hingga 20 minit dari stesen LRT Kelana Jaya untuk ke Taman Bukit Mayang Emas.

"Ketika pergi kerja pula, saya perlu keluar rumah jam 7.20 pagi dan tiba di tempat kerja sebelum jam 8.30 pagi.

"Dengan menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja, saya dapat menjimatkan masa kira-kira 30 minit berbanding memandu kereta sendiri. Namun, saya berpendapat kekerapan bas perantara perlu ditambah pada waktu puncak, terutama sebelah petang," katanya.

Sam Sammy, 24, mendakwa beliau pernah diberitahu oleh pusat perkhidmatan pelanggan bahawa masalah kekerapan bas perantara yang terlalu sedikit, malah tiada bas pada waktu tertentu, di sekitar Dataran Prima adalah disebabkan kekurangan pemandu bas.

"Jika bas tiada pada waktu petang, saya terpaksa berjalan 15 minit dari Dataran Prima ke Stesen LRT Lembah Subang.

"Bagi saya, ia agak berisiko terhadap keselamatan diri apabila berjalan dari Dataran Prima ke Stesen LRT Lembah Subang kerana perlu melalui lorong sempit dan melintas jalan," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya lebih banyak bas perantara disediakan di sekitar Kelana Jaya supaya pengguna lebih mudah ke stesen LRT, terutama pada waktu puncak.

Hasil tinjauan BH di stesen LRT laluan Kelana Jaya, terutama dari Stesen LRT Masjid Jamek ke Stesen LRT Universiti, petang semalam, mendapati ramai pengguna terpaksa menunggu bas perantara antara 10 hingga 15 minit.

Berita Harian X