Jumaat, 9 Disember 2022 | 6:15pm

Hampir tiga dekad hadap banjir

KUALA NERUS: "Selama 29 tahun menetap di Taman Uda Murni Permai, selama itu juga saya berdepan dengan banjir," kata Ruhani Mohamad, 58.

Dia yang tinggal di taman perumahan di Tok Jembal itu antara 30 keluarga membabitkan 115 mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, di sini, hari ini.

Ruhani berkata, dua hari lalu dia sudah melakukan persediaan awal dengan mengalihkan dan menyelamatkan barangan elektrik seperti peti sejuk.

Menurutnya, dia menyedari air mula naik pada jam 6 pagi tadi dan air secara perlahan-lahan masuk ke dalam rumah selepas membuka pintu.

"Memandangkan air tidak laju, saya sempat menyimpan barangan dalam rumah dan barangan perniagaan runcit di tempat selamat.

"Pada jam kira-kira 8 pagi keadaan air semakin naik memaksa dia ke PPS," katanya ditemui di sini, hari ini.

Ruhani berkata, kejadian kali ini tidak seteruk sebelum ini apabila banyak barangan mengalami kerosakan kerana air begitu cepat memasuki rumah.

"Sebelum ini banjir pada Februari dan tidak dijangka sehinggakan banyak barangan runcit, kereta dan barangan lain habis rosak teruk.

"Saya bersyukur kerana pengalaman banjir sebelum ini membantu daripada mengalami kerugian selepas membuat persediaan rapi," katanya.

Ruhani menunaikan solat di PPS SK Tok Jembal selepas kediamannya terjejas akibat banjir. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Ruhani menunaikan solat di PPS SK Tok Jembal selepas kediamannya terjejas akibat banjir. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X