Jumaat, 9 Disember 2022 | 2:17pm

Anwar umum senarai Timbalan Menteri jam 8.15 malam ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan mengumumkan barisan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan pada jam 8.15 malam ini.

Perdana Menteri dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang ini bagi memohon perkenan individu terbabit untuk dilantik ke jawatan berkenaan.

"Setakat ini, kita bersama rakan-rakan yang konsisten dengan perjuangan dan reformasi. Insya-Allah, segala kebaikan dan keputusan adalah demi kesejahteraan negara.

"Saya akan menghadap Agong petang ini dan insya-Allah, jam 8.15 malam bakal diumumkan nama Timbalan-timbalan Menteri," katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, hari ini.

Timbalan Menteri berkenaan dijangka mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, esok.

Timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara, esok. - Foto hiasan NSTP/Asyraf Hamzah
Timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara, esok. - Foto hiasan NSTP/Asyraf Hamzah

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat dan penduduk Kampung Baru, selepas makan tengah hari bersama Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di sebuah restoran berhampiran masjid.

Sebelum ini, BH melaporkan sekurang-kurang 35 nama meliputi Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), WARISAN dan parti lain sedang dipertimbangkan untuk mengisi portfolio Timbalan Menteri.

Sumber rapat dengan perbincangan bagi jawatan itu memaklumkan, jumlah Timbalan Menteri terbabit berkemungkinan akan dihadkan kepada seorang bagi setiap kementerian, kecuali membabitkan beberapa kementerian yang disatukan.

Sebagai contoh, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang sebelum ini adalah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Alam Sekitar dan Air, dijangka mempunyai dua Timbalan Menteri.

Selain itu, ada kemungkinan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah juga akan mempunyai dua Timbalan Menteri, berikutan tiada lagi Kementerian Wilayah Persekutuan dalam Kabinet sekarang.

Kementerian Kewangan juga dijangka mempunyai dua Timbalan Menteri berikutan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri. Kementerian diterajui Timbalan Perdana Menteri, termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi, turut berkemungkinan akan ada dua Timbalan Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir ke Masjid Jamek Kampung Baru bagi menunaikan solat Jumaat hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir ke Masjid Jamek Kampung Baru bagi menunaikan solat Jumaat hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X