Jumaat, 9 Disember 2022 | 2:17pm
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang juga Ahli Parlimen Pontian bersama peserta dan ibu bapa Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, di sini, hari ini. - Foto NSTP/ FARID NOH
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang juga Ahli Parlimen Pontian bersama peserta dan ibu bapa Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, di sini, hari ini. - Foto NSTP/ FARID NOH

Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO tidak dipertanding, berita palsu

PONTIAN: UMNO menafikan terdapat sebarang perbincangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata isu itu juga langsung tidak berbangkit atau dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam tadi.

Sehubungan itu, Ahmad mengecam penularan infografik, kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan ditandingi.

"Tak ada sebarang perbincangan pun mengenai tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti. Ia tidak dibincangkan malam tadi (pada Mesyuarat MKT UMNO).

"Itu (infografik tular) mamat tepi jalan yang buat. Janganlah percaya, semua kena tipu sahaja," katanya selepas meninjau Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, di sini, hari ini.

Dalam infografik yang tular sejak kelmarin itu, ia antara lain memaklumkan UMNO dijangka meminda Perlembagaan bagi menetapkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi.

Ia turut memaparkan kononnya pindaan Perlembagaan itu akan dilakukan pada perhimpunan khas, selain jika pindaan berjaya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akan mengetuai UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Dalam pada itu, Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember ini ditunda ke 11 hingga 14 Januari depan.

"Penangguhan PAU 2022 berikutan ramai perwakilan yang ingin bercuti hujung tahun bersama keluarga. Maka, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju PAU ditangguh ke Januari depan," katanya.

Berita Harian X