Jumaat, 9 Disember 2022 | 12:55pm

Kos, sistem negara sumber punca hanya 68 peratus pekerja asing dibawa masuk

PUTRAJAYA: Faktor kos terpaksa ditanggung majikan untuk membawa masuk pekerja asing ialah antara punca hanya 68 peratus tenaga buruh itu daripada jumlah permohonan diluluskan, tahun ini, berada dalam negara kini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata faktor peraturan dan kaedah dilaksanakan di negara sumber turut menjadi punca masih ada pekerja asing belum dapat dibawa masuk walaupun sudah mendapat kelulusan.

Beliau berkata, perkara itu adalah di luar kawalan Jabatan Imigresen (Imigresen berikutan pihaknya telah meluluskan 373,459 permohonan melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) sejak Januari hingga 4 Disember lalu, namun hanya 254,677 atau 68 peratus pekerja asing itu dibawa masuk oleh majikan terbabit.

"Selepas VDR diluluskan, majikan tidaklah membawa masuk semua (pekerja asing berkenaan). Yang dibawa masuk cuma 68 peratus daripada yang kita luluskan itu.

"Ini bermakna, majikan juga... walaupun selepas mendapat kelulusan, (tiada) keupayaan serta-merta untuk membawa masuk (semua pekerja asing yang diluluskan), dengan (faktor) tanggungan kos dan sebagainya.

"Di negara sumber pekerja asing terbabit, mereka juga ada beberapa sistem atau kaedah yang mesti dipenuhi," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Mengulas lanjut, beliau berkata, baki 30,410 daripada 403,869 permohonan diterima itu sedang diproses dan akan dipertimbangkan untuk kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja.

Beliau juga memaklumkan setakat November lalu, sejumlah 1,391,624 pekerja asing sudah memasuki negara ini membabitkan 510,507 dalam sektor perkilangan; pembinaan (308,886); perkhidmatan (208,425); perladangan (160,728); pertanian (110,598); pembantu rumah asing (92,338) serta perlombongan dan kuari (142).

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang penambahbaikan terhadap kaedah dan sistem penghantaran pekerja asing dari negara sumber.

Saifuddin Nasution pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Imigresen, hari ini. NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL.
Saifuddin Nasution pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Imigresen, hari ini. NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL.
Berita Harian X