Jumaat, 9 Disember 2022 | 9:30am
Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa

'Kini saya hanya mampu lihat kebakaran dari luar'

KUALA LUMPUR: UMNO kini diibaratkan sebuah rumah pusaka, yang sedang terbakar hingga menyebabkan ramai penghuninya lari, tetapi mereka yang berusaha memadam kebakaran itu, ditarik keluar daripada api yang sedang memusnahkan itu.

Demikian gambaran boleh difahami daripada perkongsian Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, selepas dilaporkan dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Annuar dalam perkongsian di Facebook pagi ini, memberi isyarat terhadap kekecewaan itu sambil berkongsi gambar membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

Gambar fail. Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Gambar fail. Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

"Malam Jumaat, saya bermimpi. Rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada 'main switch' (suis utama) dah 'short circuit' (alami litar pintas) atau wayarnya terputus. Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.

"Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar. Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar.

"Walaupun saya amat sayang rumah itu, saya hanya mampu berdoa," katanya memohon supaya 'rumah' yang terbakar itu diselamatkan.

Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid khususnya berkaitan usaha jajaran baru yang dibentuk oleh antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Dalam mesyuarat malam tadi, selain Annuar, dua lagi pemimpin akar umbi yang dipecat adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Shamsiah dan Fatimah bulan lalu digantung sementara seluruh jawatan mereka atas dakwaan terbabit secara langsung atau tidak langsung, menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Shamsiah adalah isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim, yang memenangi Parlimen Arau dalam PRU15 atas tiket Perikatan Nasional (PN), selepas dia digugurkan oleh BN daripada mempertahankan kerusi terbabit.

Fatimah pula adalah isteri kepada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang turut bertanding atas tiket PN dalam PRU15.

Terdahulu, hal pemecatan itu dimaklumkan Ahli MKT, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato' Onn di sini, selepas mesyuarat selesai.

Sehingga kini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan pemecatan yang diambil oleh MKT malam tadi.

Berita Harian X