Khamis, 8 Disember 2022 | 11:23pm
Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, ketika meninggalkan Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL), selepas menghadiri Mesyuarat Khas MKT UMNO. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, ketika meninggalkan Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL), selepas menghadiri Mesyuarat Khas MKT UMNO. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

MKT putuskan pecat tiga pimpinan bahagian - Puad

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini memutuskan untuk memecat dua ketua wanita bahagian dan seorang ketua bahagian UMNO.

Ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendedahkan hasil mesyuarat itu berkata, ketiga-tiga mereka dikenakan tindakan disiplin itu kerana mencela parti termasuk Presiden UMNO.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci identiti individu berkenaan sambil menjelaskan mereka bukan dalam kalangan MKT.

"Kita minta parti bertindak tegas, kenakan tindakan disiplin kepada mereka yang bukan sahaja mencemuh parti tetapi mencemuh Presiden parti.

"Ada dipecat...ahli UMNO bukan MKT. Tiga orang...dua ketua wanita bahagian dan satu ketua bahagian kerana mencemuh parti serta berkempen (untuk pihak lawan)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT di Menara Dato' Onn di sini, malam ini.

Menjelaskan situasi dalam mesyuarat berkenaan, Mohd Puad berkata, nada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agak tegas berkenaan isu disiplin.

Katanya, Ahmad Zahid menegaskan tidak akan sekali berkompromi dengan ahli yang burukkan parti termasuk membocorkan inti pati mesyuarat parti kepada pihak luar.

"Satu lagi, hari ini, presiden parti agak tegas dalam isu disiplin dan beliau tidak akan berkompromi dengan mereka yang suka burukkan parti termasuk bocorkan hasil mesyuarat MKT," katanya.

Dalam mesyuarat itu, dua naib presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak hadir.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan Ismail Sabri tidak hadir pada mesyuarat itu kerana perlu menghadiri program lain.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan mengapa Mahdzir tidak hadir mesyuarat berkenaan.

Berita Harian X