Khamis, 8 Disember 2022 | 6:10pm

Pantau media sosial tak bermakna sekat kebebasan bersuara

KUALA LUMPUR: Pemantauan terhadap kandungan media sosial tidak akan menyekat hak bersuara atau kebebasan media untuk melaporkan isu terkini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, berkata beliau akan terus mempertahankan hak kebebasan bersuara namun pada masa sama meneliti undang-undang berkaitan.

"Sama ada di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi terdapat batas undang-undang yang sekiranya dicerobohi akan ada tindakan.

"Rakyat jangan salah faham, hak bersuara masih ada cuma jangan fitnah dan membuat tohmahan yang tidak berasas," katanya selepas melawat Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) hari ini.

Beliau mengulas kenyataan di media sosial yang memetik beberapa kenyataan Fahmi mengenai kebebasan bersuara sebelum jadi menteri. Bagaimanapun, kelmarin Fahmi dalam sidang media mengumumkan SKMM dan TikTok sekat lebih 2,000 kandungan yang disifatkan sebagai provokatif.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata setiap perbuatan ada tindakan balas termasuk di mahkamah.

"Algoritma menapis kandungan sudah ada di media sosial, sebagai contoh di Amerika Syarikat, jika seorang pembunuh bersiri melakukan 'live stream' dan ia disekat, adakah itu bermaksud menyekat hak beliau bersuara, sudah tentu tidak," katanya.

Fahmi berkata, Kementerian termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menjaga hak bersuara tetapi tetap mengawasi batas undang-undang.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau belum sempat meneliti kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut PH dan BN melakukan 'the biggest electoral fraud ever' (penipuan pilihan raya terbesar) pada PRU15.

Muhyiddin membuat kenyataan itu ketika mengulas kemenangan besar PN dalam PRU15 bagi kawasan Serai semalam.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa kemenangan besar PN di kerusi Parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman tanda positif sokongan padu rakyat terhadap PN. Ia sekali gus menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH.

PN merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH pada PRU15 selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.

Pertembungan enam penjuru di kerusi berkenaan turut membabitkan calon BN, Datuk C Sivaraajh, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Hamzah Abd Rahman; calon Parti Warisan (WARISAN), Mohd Bakhri Hashim dan calon Bebas, iaitu Sreanandha Rao.

Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi dan Sivaraj yang memberi laluan kepada calon PH berjaya meraih 2,983 undi.

Fahmi Fadzil pada sidang media selepas taklimat ketika lawatan kerja di Jabatan Penyiaran Malaysia RTM hari ini. - foto BERNAMA
Fahmi Fadzil pada sidang media selepas taklimat ketika lawatan kerja di Jabatan Penyiaran Malaysia RTM hari ini. - foto BERNAMA
Berita Harian X