KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali transit aliran ringan (LRT) diminta memandang serius kekerapan gangguan operasi perkhidmatan berkenaan dan bertindak segera menyelesaikannya.
Terbaharu, operasi LRT bagi laluan Kelana Jaya sekali lagi tergendala pagi tadi yang menurut Rapid KL, disebabkan kerja baik pulih yang sedang dijalankan di laluan berkenaan berikutan gangguan pada isyarat tren.
Akauntan, Nurul Hanisah Abu Muhsen, 27, berkata dia menggunakan LRT untuk berulang alik ke tempat kerja saban hari dan apabila perkhidmatan kerap terganggu, dia lewat sampai ke pejabat.
"Memandangkan isu ini terlalu kerap, pihak berkenaan sepatutnya sudah menyediakan alternatif menggantikan perkhidmatan LRT atau sediakan lebih banyak bas perantara ketika waktu puncak.
"Pasukan tindakan khas juga diperlukan untuk bertindak mengikut keperluan sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan," katanya ketika ditemui, hari ini.
Kerani am, Raja Nurul Fatin Raja Noor Azmi, 23, juga kesal dengan masalah berkenaan kerana ia membuang masa dan meminta pihak berkuasa menyiasat mengapa gangguan sering berlaku.
"Jika tidak ditangani segera, ia akan menyusahkan dan merugikan wang kebanyakan pengguna kerana terpaksa menggunakan e-hailing, teksi atau bas untuk ke destinasi. Kalau naik e-hailing dan teksi, kosnya lebih mahal, lebih RM50 untuk perjalanan pergi dan balik saya.
"Saya harapkan pihak berkenaan tidak memandang enteng isu ini dan diharapkan ada perubahan dalam masa terdekat," katanya.
Seorang lagi pengguna yang enggan namanya disiarkan, berkata dalam bulan ini sahaja sudah berapa kali masalah itu berulang.
"Sebelum ini ia mengambil masa seminggu untuk diselenggara sepenuhnya, jadi isu ini perlu ditangani secekap mungkin. Kalau cepat selesai tapi masalah sama berulang, tiada guna juga. LRT perkhidmatan tumpuan terutama ketika waktu puncak kerana ia menghubungkan pejabat di sekitar Kuala Lumpur.
"Kita boleh tengok sendiri, orang ramai akan naik di Stesen Masjid Jamek, Pasar Seni dan KLCC setiap hari, jadi masalah begini akan mengganggu waktu kerja mereka," katanya.
Dia tidak menolak kemungkinan sistem digunakan untuk perkhidmatan LRT adalah sistem yang tidak terkini, sekali gus boleh menjadi punca gangguan yang kerap berlaku.
"Jadi, untuk mengelakkan masalah berulang, pihak berkenaan boleh hentikan operasi sementara waktu untuk mendapatkan teknologi terkini," katanya.