KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau terbuka untuk menerima cadangan lebih baik demi membela kepentingan rakyat, terutamanya pesawah miskin.
Justeru, Perdana Menteri mempelawa mana-mana pihak untuk mengusulkan alternatif, berbanding sekadar menyanggah usaha kerajaan dalam membantu pesawah miskin.
"Tumpuan kita saat ini adalah menggunakan kuasa untuk membela kepentingan rakyat, terutamanya pesawah miskin.
"Kalau ada pihak lain yang ingin menyanggah usaha kerajaan dalam membantu pesawah miskin, pihak tersebut dipersilakan mengusulkan alternatif.
"Saya terbuka menerima cadangan yang lebih baik," katanya melalui Twitter.
Tumpuan kita saat ini adalah menggunakan kuasa untuk membela kepentingan rakyat, terutamanya pesawah miskin. pic.twitter.com/wAOPUQ1jZc
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) December 7, 2022
Kenyataan Anwar itu dipercayai merujuk pengumuman beliau berhubung syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebelum ini yang dipolitikkan sehingga dituduh sebahagian usaha merobohkan empayar perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengarahkan supaya BERNAS menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan, demi kepentingan rakyat dan pesawah miskin termasuk di Kedah.
Anwar juga berkata, kelulusan itu dibuat selepas berunding dengan Syed Mokhtar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan isu membantu rakyat miskin tidak sewajarnya dipolitikkan, tetapi perlu dibuktikan dengan tindakan dan bukan sekadar laungan politik yang disulam sentimen Melayu dan Islam semata-mata.
"Kita tengok sikap pemimpin bercakap soal Melayu dan Islam berdegar-degar, tetapi bila kita kata nak pulangkan sedikit kepada pesawah padi, dia nak pertahankan juga tauke besar.
"Syed Mokhtar (Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary) setuju dengan saya. BERNAS boleh beri jaminan keselesaan dan keadilan kepada pesawah padi yang miskin.
"Apa yang jadi masalah sangat ini dalam negara kita? Apa yang nak dipolitikkan," katanya melalui video di Facebook yang memetik kenyataannya dalam sidang media di Kementerian Kewangan, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor mendakwa Anwar hanya berani menegur Syed Mokhtar berbanding tokoh korporat terkaya di Malaysia lain kerana beliau adalah Melayu dan mudah dibuli.
Kenyataan Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu merujuk pengumuman Anwar berhubung BERNAS sebelum ini.
Dalam video sama, Anwar menegaskan keputusannya berhubung isu monopoli itu bukan mudah, namun dapat diputuskan hanya dalam tempoh sehari beliau memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kewangan.
"Saya ambil keputusan dan bukan mudah kerana berdepan dengan konglomerat yang berbilion (ringgit). Ini semua syarikat yang paling kaya dalam negara kita, tetapi saya ambil keputusan dasar.
"Dia kata dia bantah. Ya, tapi maknanya empat menteri (kanan bawah kerajaan lalu) tidak ada upaya. Seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengambil tindakan dalam masa satu hari untuk membuat keputusan," katanya.
Beliau juga menegaskan tidak berniat merobohkan empayar Syed Mokhtar, namun teguran dan arahan kepada jutawan Melayu itu adalah usahanya mencari jalan bagi membantu golongan petani yang miskin sejak sekian lama
"Kalau tidak sokong tidak apa tetapi tidak perlu caci. Saya tahu dia syarikat besar, bukan maksud saya nak robohkan empayar dia. Sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, (saya) cari jalan bagaimana ini boleh dilakukan.
"Ada kuasa, buat sedaya upaya. Jeritlah sekuat mana pun Melayu dan Islam tetapi (jika) nasib orang Melayu yang miskin tak terbela, tidak ada makna bagi saya," katanya.