Rabu, 7 Disember 2022 | 3:13pm

'Tinggal sana banjir, pindah sini pun banjir'

JELEBU: "Ketika tinggal di Lubok China, Rembau sebelum ini, rumah kerap dilanda banjir menyebabkan saya mengambil keputusan untuk pulang dan membina rumah di Kampung Lakai, namun tidak sangka di sini juga berdepan masalah sama. Sejak tinggal di kampung ini, setahun lalu, rumah saya telah empat kali dinaiki air sehingga banyak harta benda musnah."

Pengalaman perit itu ditempuhi ibu sarat mengandung tujuh bulan, Norinshafariza Jono, 36, yang terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Lakai selepas kediamannya ditenggelami banjir mencecah 1.5 meter (m), malam tadi.

Keadaan banjir di Kampung Lakai. - NSTP/ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Keadaan banjir di Kampung Lakai. - NSTP/ABNOR HAMIZAM ABD MANAP

Norinshafariza berkata, beliau bersama tujuh ahli keluarga berpindah ke PPS kira-kira jam 11 malam tadi apabila air mula memasuki rumah, bagi mengelak mereka sekeluarga terperangkap dalam banjir.

"Ini kerana laluan ke rumah saya pernah terputus hubungan akibat banjir sebelum ini. Justeru, paling selamat ialah berpindah awal, lebih-lebih lagi saya sedang sarat mengandung, manakala air pula naik dengan pantas kerana rumah terletak berdekatan sungai," katanya ketika ditemui di PPS itu.

Seorang lagi mangsa, Ramsani Ismail, 49, berkata beliau bersama dua ahli keluarga berpindah ke PPS kira-kira jam 4 pagi tadi selepas mendapati keadaan banjir semakin teruk dan hanya sempat menyelamatkan beberapa peralatan elektrik di dalam rumah mereka.

"Sejak petang hingga malam tadi, kami berjaga-jaga tetapi kira-kira jam 2 pagi, air memasuki rumah dengan laju menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut. Dalam masa tidak sampai 15 minit, rumah sudah dinaiki air sedalam satu meter," katanya.

Dania Tarif, 50, turut berdepan pengalaman mencemaskan apabila beliau bersama suami dan dua anak terpaksa berpindah ke PPS dalam keadaan sehelai sepinggang apabila rumah mereka dinaiki banjir mencecah paras pinggang.

"Mujur kami sempat keluar dan tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun rumah serta banyak harta benda rosak ditenggelami air," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lakai, Mohd Adlan Jasin, berkata seramai 32 mangsa banjir membabitkan enam keluarga ditempatkan di PPS balai raya kampung berkenaan.

Berita Harian X