Rabu, 7 Disember 2022 | 1:15pm

PRU15: Patah kaki tidak patah semangat pesara guru mengundi

KULIM: Biarpun belum boleh berjalan dengan sempurna akibat patah kaki empat bulan lalu, ia tidak mematahkan semangat seorang pesara guru untuk menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini.

Yahya Abu Hasan, 79, berkata dia bersiap awal untuk keluar mengundi hari ini selepas pengundian di Parlimen Padang Serai ditangguhkan lebih dua minggu lalu.

"Alhamdulillah saya dapat datang ke pusat mengundi hari ini, sebelum ini saya tak boleh berjalan selepas kaki kiri saya patah akibat terjatuh di pasar empat bulan lalu.

"Hari ini saya datang dengan anak, selepas turun kereta tadi, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bantu saya menaiki kerusi roda, semuanya berjalan lancar," katanya yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah Kulim di sini, hari ini.

Yahya berkata dia tidak pernah ponteng mengundi sejak zaman mudanya.

Parlimen Padang Serai mempunyai 133,767 pengundi yang layak, dengan 81,230 pemilih mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, manakala bakinya 52,546 adalah pengundi DUN Merbau Pulas.

Sementara itu, Nur Alieya Aifah Anuar, 18, berkata dia bersyukur kerana majikan tempatnya bekerja memberikan cuti khas hari ini supaya mereka dapat keluar mengundi.

Katanya, dia datang bersama rakan sekerja, Nor Izayu Azmi, 19, yang turut mengundi buat pertama kali.

"Kami berdua kerja di kilang yang sama di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), apabila sampai tadi kami berdua agak gementar tapi petugas membantu kami untuk mengundi dengan cepat dan mudah.

"Ibu bapa kami yang beri galakan kami datang mengundi hari ini, Alhamdulillah kami kenal calon-calon parti yang bertanding tapi kami tak tahu ada calon yang menarik diri," katanya yang tinggal di Kampung Syed Sheh di sini.

Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj dan calon Parti Warisan, Mohd Bakhri Hashim mengumumkan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak.

PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

SPR yang memutuskan penangguhan PRU15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan hari ini sebagai tarikh pengundian.

Selain Sivaraj, Sofee dan Mohd Bakri, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (PEJUANG) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Yahya Abu Hasan, 79, dibantu petugas SPR selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah Kulim di sini, hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Yahya Abu Hasan, 79, dibantu petugas SPR selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah Kulim di sini, hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Berita Harian X