KUALA LUMPUR: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya sekali lagi tergendala pagi ini, dengan beberapa pengguna berkongsi foto mengenai kesesakan berlaku disebabkan masalah terbabit.
Berdasarkan kenyataan Rapid KL melalui kemas kini jam 7.35 pagi di Twitter, kelewatan berlaku disebabkan baik pulih yang sedang dijalankan di laluan berkenaan yang berpunca daripada gangguan pada isyarat tren.
Susulan itu, pihak berkenaan menjangkakan kekerapan 15 minit di beberapa stesen antara Gombak dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan dimaklumkan akan dibawa secara manual di kawasan terbabit.
Melalui kemas kini ciapan jam 7.56 pagi, Rapid KL memaklumkan kerja baik pulih selesai dan isyarat kembali normal, dengan jadual perjalanan sedang diselaraskan dan kekerapan dijangka pulih dalam masa 10 minit.
Terdahulu pengguna Twitter berkongsi foto mengenai keadaan di beberapa Stesen LRT di laluan terkesan itu di mana orang ramai beratur panjang menunggu ketibaan tren.
Antaranya, pengguna Twitter @LRLR42097845 yang berkongsi foto di Stesen LRT Pasar Seni jam 7.25 pagi tadi sambil meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berbuat sesuatu.
Seorang lagi pengguna @AbolqazCTG turut memuat naik foto orang rami beratur menunggu tren dengan ciapan "Apa-apa perubahan dalam politik Negara sekali pun, LRT masih rosak pagi-pagi".
Kelmarin, Loke turun padang meninjau sendiri situasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya walaupun belum memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Pengangkutan.
Dengan memakai topi dan pelitup muka berwarna hitam, Loke menyamar sebagai penumpang biasa untuk merasai sendiri pengalaman menaiki LRT itu selama dua jam pada waktu puncak, dengan tindakan itu mendapat pujian ramai.
Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mendapat perhatian sejak beberapa minggu lalu selepas mengalami gangguan beberapa kali hingga operasinya terpaksa dihentikan selama hampir seminggu bermula 9 November lalu.
Penggantungan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park ketika itu terpaksa dilakukan selepas operasi tren berkenaan mengalami gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) selama beberapa kali, hingga menjejaskan kestabilan perkhidmatannya.