Selasa, 6 Disember 2022 | 8:57pm
Sumber Facebook Istana Negara
Sumber Facebook Istana Negara

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Muar, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yassin, yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham serta menzahirkan harapan supaya seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut catatan itu.

Abdul Aziz, 90, yang dilahirkan di Muar pada 27 Oktober 1932, meninggal dunia pada jam 9.50 pagi tadi.

Allahyarham, abang kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Muar selama sepenggal dari 1995 hingga 1999.

Allahyarham juga adalah Timbalan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang pertama pada 1965. - BERNAMA

Berita Harian X