Isnin, 5 Disember 2022 | 11:47pm
Foto fail/Ihsan UMNO
Foto fail/Ihsan UMNO

Perhimpunan Agung UMNO ditangguh ke 11 Januari 2023

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang dijadualkan berlangsung hujung Disember ini kepada awal tahun depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata PAU 2022 yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ini, ditangguhkan kerana tarikh berkenaan bertembung dengan cuti persekolahan.

Sehubungan penangguhan itu, beliau memaklumkan pihaknya akan menghantar notis rasmi dalam masa terdekat berhubung tarikh baharu PAU 2022, iaitu pada 11 hingga 14 Januari tahun depan.

"Oleh kerana 21 hingga 24 Disember 2022 adalah waktu cuti sekolah dan ramai perwakilan yang ingin bercuti hujung tahun ke merata tempat, maka Perhimpunan Agung UMNO adalah ditangguh.

"Tarikh baharu ialah pada 11 hingga 14 Januari 2023. Harap dalam makluman tuan puan. Notis PAU 2022 akan dihantar secara rasmi tidak lama lagi," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad mengumumkan PAU tahun ini akan berlangsung selama empat hari bermula 21 hingga 24 Disember ini.

Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii pula memaklumkan pelaksanaan PAU 2022 itu tidak akan membabitkan pemilihan parti.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO, yang menyaksikan pemilihan UMNO di semua peringkat perlu diadakan tidak lebih dari tempoh enam bulan selepas pelaksanaan Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat).

Berita Harian X