Isnin, 5 Disember 2022 | 9:43pm
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika lawatan rasmi dan penyerahan dua unit bot kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika lawatan rasmi dan penyerahan dua unit bot kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Ahli politik digesa henti cetus keresahan rakyat

KULIM: Ahli politik digesa berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan buat rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata rakyat sudah penat untuk berdepan permainan politik, selain masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi.

"Justeru, kita harap tiada lagi kenyataan yang mengundang resah kepada rakyat dikeluarkan.

"Kerajaan kini juga lebih fokus kepada usaha untuk melaksanakan tugas demi kepentingan bersama dan tidak mahu memikirkan isu remeh yang dimainkan pihak tertentu," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, dalam ceramah di Padang Serai, kelmarin, bahawa kini ada usaha dilakukan supaya Kabinet tidak bertahan lama bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) memerintah.

Ditanya mengenai gelaran kerajaan zina serta kerajaan luar tabii yang dibuat calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, terhadap kerajaan Persekutuan, Saifuddin berkata, perkara sedemikian tidak perlu dilayan.

"Kalau nak dilayan istilah semantik dan sebagainya itu, tak habis kerja kita. Kita tak akan benarkan kerajaan baharu ini terpesong dengan hal picisan sebegitu.

"Kita hanya fokus kepada kerja kerana kita punya tugas serta amanah cukup besar seperti dinasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika lawatan rasmi dan penyerahan dua unit bot kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika lawatan rasmi dan penyerahan dua unit bot kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Beliau ditemui ketika lawatan rasmi dan penyerahan dua unit bot kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan masing-masing lima unit komputer lima komputer kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu dan Jabatan Sukarelawan (Rela) Kulim.

Turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.

Berita Harian X