PASIR GUDANG: Hujan lebat berterusan selama dua jam sejak jam 1 tengah hari tadi mengakibatkan beberapa kawasan termasuk Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, dinaiki air.
Selain Lebuhraya Pasir Gudang iaitu susur keluar dan masuk ke Bandar Seri Alam, Jalan Masai Lama, Jalan Kampung Ubi dan di Jalan Pandan menuju Bandar Kota Tinggi turut dinaiki air akibat banjir kilat.
Hasil perkongsian gambar dan beberapa video di laman sosial Facebook turut memaparkan beberapa kenderaan di susur Seri Alam dilihat menghentikan kereta masing-masing di bahu jalan.
Terkini, banjir kilat di Pasir Gudang, Johor. Highway bertukar jadi sungai mat ! Hati hati semua. pic.twitter.com/EGciS3hy4g
— eFJei (@mrfirdausjailan) December 5, 2022
Kejadian turut menyebabkan kesesakan lalu lintas dan beberapa kenderaan terperangkap akibat air yang naik secara mendadak.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Mohd Yusri Atan, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 1.53 petang berhubung banjir kilat di Jejantas Bandar Seri Alam, Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Pasir Gudang.
Katanya, tiada mangsa terbabit dalam kejadian ini.
Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Daerah Johor Bahru memaklumkan menerima laporan empat buat rumah di Kampung Ubi di Jalan Tampoi di sini dinaiki air.
Katanya, kejadian berpunca daripada hujan lebat lebih sejam dan saluran perparitan yang tersumbat.
"Pada jam 2.35 petang tadi, PKOD menerima maklumat kes dari anggota APM menyatakan empat rumah terjejas dengan anggaran paras air 0.5 meter.
"Cuaca di lokasi masih hujan renyai. Keadaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Lebat betul hujan sampai banjir kilat kat highway pasir gudang.
Info dari member driver lori. pic.twitter.com/eqbSslNSfR— Don_Pablo ️ (@PAB10I5) December 5, 2022