KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan turut menghantar nama calon bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.
Perkara itu disahkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) BERSATU, Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika dihubungi hari ini.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama berkenaan, selain menafikan beliau adalah calonnya.
"Ya...bukan sayalah..saya akan terbang ke Qatar menyaksikan perlawanan bola sepak pada 18 Disember ini.
"Tetapi saya bagi isyarat kena hantar nama sebelum jam 5 petang ini," katanya kepada BH, di sini.
Sementara itu, sumber BERSATU mengesahkan pencalonan bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat mewakili PN sedang diuruskan pada peringkat parti.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menyatakan hari ini adalah hari terakhir bagi pemakluman dan pemberian notis berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat, sebelum persidangan Parlimen berlangsung 19 Disember ini.
Azhar perlu mengosongkan jawatannya itu mulai jam 12 tengah malam pada 18 Disember ini, seperti termaktub mengikut Perlembagaan.
Sehingga semalam, dua nama disebut-sebut paling layak menggantikan Azhar ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof.