Isnin, 5 Disember 2022 | 3:36pm

Henti pertikai kuasa Agong - Anwar

KUALA LUMPUR: Semua pihak mesti berhenti mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan isu pelantikan Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10 dibuat berdasarkan kebijaksaaan Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar berkata, semua pihak menerima kenyataan pelantikan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelas bagi mengelak tohmahan dan kekeliruan mengenai fakta dan kronologi pelantikan Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Walaupun bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa mempunyai sokongan 115 Ahli Parlimen, tetapi belum tempoh had ditetapkan pada jam 2 petang keesokannya.

"Sembilan Ahli Parlimen UMNO pun menarik (balik sokongan terhadap Muhyiddin), selain GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah memberi perakuan untuk menyerahkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskannya.

"Maka, jumlah itu (sokongan terhadap Muhyiddin) sudah tentunya dipertikaikan dan ia dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja yang kemudian membuat keputusan sebulat suara menetapkan calon Perdana Menteri yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-10 di hadapan Al-Sultan Abdullah, pada 24 November lalu.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Istana Negara.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dilapor mendakwa menerima sokongan GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa Ahli Parlimen yang menang pada PRU15 untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Presiden BERSATU itu antara lain dilapor menghantar akuan bersumpah 115 Ahli Parlimen bagi membuktikan komitmen itu kepada Istana Negara di sini, pada 21 November lalu.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, tidak sesuai bagi mana-mana pihak untuk mempertikai keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10.

"Saya rasa sudah sampai ketikanya untuk (semua pihak) terima kenyataan ini dan jangan mempertikaikan kuasa dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

"Ini tidak menghalang usaha lain mengikut jalur Parlimen demokrasi untuk menolak dan sebagainya," katanya yang juga Presiden PKR.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto hiasan BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto hiasan BERNAMA
Berita Harian X