Isnin, 5 Disember 2022 | 12:58pm
Bendera UMNO. FOTO ARKIB NSTP
Bendera UMNO. FOTO ARKIB NSTP

UMNO kembali raih sokongan orang Melayu 5 tahun lagi - Nur Jazlan

JOHOR BAHRU: UMNO dijangka bangkit dengan orang Melayu kembali menyokong parti itu dalam tempoh lima tahun lagi.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata kebangkitan parti itu akan berlaku selepas pelbagai baik pulih dilaksanakan.

Katanya, apabila UMNO kembali kuat, Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP pastinya akan melihat kepentingan untuk terus bersama parti itu bagi memastikan undi orang Melayu tidak berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

"Saya melihat UMNO mampu bangkit kembali dalam tempoh lima tahun lagi dan orang Melayu akan kembali menyokong UMNO selepas pelbagai baik pulih dilakukan dalam parti ini.

"Oleh itu, untuk perjalanan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti, UMNO dan PH boleh mula untuk membina rasa percaya dan rasa hormat antara satu sama lain supaya satu jajaran politik perpaduan antara UMNO dan PH dapat diusahakan.

"Namun PKR dan DAP perlu hentikan amalan berpuluh tahun menyatakan semua orang UMNO korup dan makan rasuah.

"Macamlah mereka pun tak ada pemimpin bermasalah yang sama. Rakyat pula kenalah sedar cakap pemimpin dari BERSATU mengenai semua orang UMNO adalah kleptokrat, kerana BERSATU pun kena cermin diri sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan 20 November lalu, BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

Pada PRU14 lalu, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua Bahagian UMNO Pulai berkata, jika jajaran politik perpaduan UMNO-PH ini dapat direalisasikan, ia bakal menjamin kestabilan politik dan kemakmuran berterusan negara.

Katanya, ini kerana dasar UMNO yang tidak ekstrem seperti PAS yang membolehkan ia disesuaikan dengan dasar PH yang sentiasa mengamalkan konsep politik terbuka.

"Adakah Kerajaan Perpaduan ini mampu bertahan lebih 22 bulan serta melangkaui sehingga PRU16 atau hanya separuh jalan. Itulah persoalan yang mahu diikuti rapat oleh rakyat.

"Bagi saya, baik UMNO mahupun PH masing-masing ada kelemahan dan kelebihan tersendiri. Yang tinggal cuma macam mana kita mahu mencari titik persamaan untuk dijadikan satu kelebihan bagi berdepan cabaran masa depan.

"Dalam keadaan sekarang ini pun PH sedar akan keperluan untuk bersama UMNO dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan kerana tanpa persetujuan dan sikap berjiwa besar UMNO tak mungkin PH berjaya membentuk kerajaan seperti hari ini," katanya. '

Beliau berkata, demografik dan keadaan politik ketika ini sama dengan suasana pra-PRU pada 1969.

"Ketika itu, Allahyarham Tun Razak Hussein dan pemimpin politik kemerdekaan negara dari Tanah Melayu , Sabah dan Sarawak boleh berkompromi dan tubuhkan BN pada 1973 sehingga negara mewarisi keamanan, kestabilan politik serta pembangunan ekonomi yang berterusan selama 50 tahun.

"Mungkinkah sejarah akan berulang lagi dengan jajaran UMNO-PH," katanya.

Berita Harian X