Isnin, 5 Disember 2022 | 10:15am

Dr Zaliha, wanita pertama dilantik Menteri Kesihatan mulakan tugas

PUTRAJAYA: Dr Zaliha Mustafa yang dilantik menerajui Kementerian Kesihatan dalam Kabinet diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, terbuka untuk mendapatkan cadangan atau pandangan daripada menteri terdahulu berkaitan kementerian berkenaan.

Beliau yang juga wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan juga bersedia untuk mendapatkan bantuan berkaitan dengan perkara atau dasar yang pernah diusahakan oleh menteri sebelum ini.

"Sebagai menteri baharu, saya akan mendapatkan taklimat daripada pihak kementerian sendiri serta melihat kembali apakah dasar yang mungkin boleh kita gunakan atau perlu diperbaiki mahupun ditolak. Itu kita tidak pasti.

"Itu biasa dalam mana mana kementerian baharu, jadi saya akan lakukan perkara yang sama. Namun akhirnya apa yang diinginkan adalah melakukan yang terbaik kepada rakyat dan (kementerian ini) menjadi perhatian ramai kerana sektor kesihatan adalah keperluan asas kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu bagi memulakan tugas rasminya di KKM, hari ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengimbas kedatangan pada sistem pengurusan kedatangan pada hari pertama memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sekijang itu memaklumkan beliau sangat gembira dilantik serta menjadi wanita pertama menerajui kementerian berkenaan.

"Ini satu cabaran, tetapi mengujakan dan antara fokus (dalam isu kesihatan) adalah berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak.

"Saya juga sebelum ini adalah Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan itu banyak membantu dalam kerjaya saya sebagai menteri wanita pertama di KKM," katanya.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (kiri) memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (kiri) memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bersama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini sempena hari pertama memulakan tugasan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya. - NSTP/Genes Gulitah

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr Zaliha, 58, memperoleh 18,491 undi dan majoriti 1,734 undi bagi mengalahkan empat pesaing lain.

Sebelum memasuki bidang politik, beliau memulakan kerjayanya dalam bidang perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebagai doktor siswazah pada 1989.

Dr Zaliha kemudian menjadi doktor perubatan di Hospital Daerah Pekan pada 1990 dan Hospital Taiping pada 1991 sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993.

Beliau mula aktif dalam bidang poltik pada 1999 sebagai Ketua Wanita PKR Johor dan enam tahun kemudian dilantik sebagai Pengerusi PKR negeri berkenaan sebelum menjawat jawatan Naib Ketua Wanita PKR pada 2007.

Berita Harian X