Isnin, 5 Disember 2022 | 12:14am
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kanan) mengangkat tangan calon BN bagi Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj (dua dari kiri) yang bersetuju memberi laluan kepada calon PH pada PRU15 Parlimen Padang Serai - Foto NSTP/Adie Zulkifli
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kanan) mengangkat tangan calon BN bagi Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj (dua dari kiri) yang bersetuju memberi laluan kepada calon PH pada PRU15 Parlimen Padang Serai - Foto NSTP/Adie Zulkifli

Sivaraj dipertimbang peranan dalam kerajaan

PADANG SERAI: Pakatan Harapan (PH) sedia untuk mempertimbangkan peranan yang sesuai untuk diberikan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Padang Serai Datuk C Sivaraj dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pertimbangan itu perlu berikutan Sivaraj bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH untuk memenangi pilihan raya parlimen berkenaan pada 7 Disember ini.

"Penarikan diri Sivaraj (daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai dibuat tanpa syarat. Tapi saya yakin sebagai tokoh muda sudah tentu saudara Sivaraj layak untuk mendapat tempat.

"Dalam sebuah kerajaan baharu seperti ini tentu sahaja tokoh-tokoh muda sebegini akan ada tempat yang selayaknya yang akan kita pertimbangkan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri ceramah mega PH di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Sivaraj dan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata keputusan memberi laluan kepada Sofee dibuat selepas perbincangan PH dengan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, antara asas yang dikemukakan PH untuk penarikan diri calon BN itu adalah keputusan PH sebelum ini yang bersetuju memberi laluan kepada calon BN di pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang.

"Jadi dalam semangat kerajaan gabungan yang ada dalam kedua-dua blok ini di Tioman PH tarik diri, (manakala) di Padang Serai ini Sivaraj tarik diri dan saya tegaskan berulang kali tanpa syarat apa-apa, seperti mana penarikan di Tioman dibuat tanpa syarat," katanya.

Jumaat lalu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa calon BN memberi laluan kepada calon PH untuk PRU15 Padang Serai 7 Disember ini.

Sementara itu, Saifuddin ketika ditanya mengenai tindakan Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, berkata nama-nama yang dicadang dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibuat mengikut proses serta mengambil kira semua perkara.

"Satu keputusan sudah tentu mengundang pro and con dan we go along with it (setuju dan tidak setuju) dan kita yakin dengan pengalamannya dia (Anwar) mampu untuk memimpin kementerian yang penting ini," katanya.

Berita Harian X