KOTA KINABALU: Bekas Jurugambar Eksekutif The New Straits Times Press (NSTP), Datu Ruslan Sulai, 57, meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, petang tadi.
Allahyarham berkhidmat sebagai jurugambar NSTP dari 1992 hingga 2017 dengan jawatan terakhirnya Jurugambar Eksekutif NSTP Biro Sabah, menghembuskan nafas terakhir di HQE, kira-kira jam 4 petang.
Jenazah beliau yang juga aktif dalam bidang seni, khususnya deklamasi puisi, sajak, teater dan seni lukis, dimandi dan disolatkan di Masjid Sembulan, di sini, kira-kira jam 7.45 malam tadi dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sempelang, Sembulan.
Isterinya, Maslina Abdul Rahman berkata, Datu Ruslan dimasukkan di HQE sejak 1 November lalu selepas sering mengalami sesak nafas dan batuk sebelum disahkan mengalami kanser paru-paru tahap empat.
"Pada 16 November, Allahyarham terpaksa ditidurkan selepas menjalani rawatan mengambil sampel. Sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas terakhir petang tadi," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HQE, di sini, hari ini.
Sepanjang berkhidmat di NSTP Biro Sabah, Allahyarham banyak memenangi anugerah dalam dunia fotografi, selain anugerah dalam deklamasi puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri.
Datu Ruslan meninggalkan seorang balu dan enam anak, iaitu Datu Afiq, 29; Datu Afnan, 25; Datu Afdhal, 23; Nur Najihah, 21; Datu Afif, 17, dan Datu Afdhani, 12.