Ahad, 4 Disember 2022 | 7:53pm
Roslee (dua dari kiri) menyerahkan pakaian seragam SUKSIS milik anaknya, Allahyarham Muhammad Aqil kepada Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (kanan). -NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN.
Roslee (dua dari kiri) menyerahkan pakaian seragam SUKSIS milik anaknya, Allahyarham Muhammad Aqil kepada Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (kanan). -NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN.

Bapa terima ijazah arwah anak, wakaf seragam SUKSIS kepada UPSI

TANJUNG MALIM: Sepasang pakaian seragam Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) milik graduan yang menerima ijazah secara anumerta, Muhammad Aqil Roslee diwakafkan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke-24, hari ini.

Bapa Allahyarham, Roslee Fadzil, 59, yang naik ke pentas menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Sains Kejurulatihan) anaknya itu daripada Pro Canselor, Tan Sri Prof Emeritus Dr Zakri Abdul Hamid, berkata Muhammad Aqil kemalangan ketika menjalani latihan industri di Parit Buntar, Perak.

"Anak saya yang menyewa di Jejawi, menunggang motosikal dalam perjalanan ke sebuah gimnasium tempatnya menjalani latihan industri di Parit Buntar, namun kemalangan kira-kira jam 10 malam di Nibong Tebal," katanya ketika ditemui.

Pesara Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Ulu Kinta itu yang kini menetap di Sik, Kedah hadir bersama isteri, Nor Bahagia Zainol, 53, dan dua lagi anak mereka, Noramalina, 28, serta Lutfi Hadi, 23, ke majlis konvokesyen hari ini.

Sebelum tragedi berkenaan, beliau berkata, arwah yang anak ketiga daripada lima beradik sangat gembira tinggal di rumah baharu mereka di Sik dan suka berada di ruang tamu sambil mengusik ibu dan adik beradik lain.

"Arwah suka tolong ibunya di dapur sewaktu ibunya memasak serta membantu saya memesin rumput di halaman atau kebun," katanya.

Roslee menyumbangkan pakaian seragam SUKSIS arwah anaknya itu kepada UPSI yang diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff selepas selesai istiadat penganugerahan ijazah.

Berita Harian X