KUALA LUMPUR: Saiz timbalan menteri Kerajaan Perpaduan dipercayai sudah pun dimuktamadkan dengan mengambil kira jumlah menteri yang dilantik, yang mana setiap kementerian akan diwakili hanya seorang timbalan menteri.
Sumber terdekat dengan pemimpin yang terbabit dalam rundingan agihan portfolio itu menjelaskan, perbincangan masih berjalan hingga kini, terutama berkaitan urusan portfolio saja, dengan setiap parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sudah pun ada yang mengemukakan senarai nama wakil mereka.
Beliau berkata, agihan itu dijangka menyaksikan Pakatan Harapan (PH) akan mendominasi jumlah portfolio kementerian iaitu sekurang-kurangnya 15 portfolio, dengan DAP dan AMANAH akan memperoleh masing-masing tiga dan dua lagi portfolio.
"Barisan Nasional (BN) pula akan memperoleh sekurang-kurang tujuh jawatan timbalan menteri termasuk beberapa wakil Ahli Parlimen BN dari Sabah, diikuti dua wakil dari Gabungan Parti Sarawak (GPS). Dua lagi timbalan menteri adalah wakil (Ahli Parlimen) dari Sabah, yang bukan dari BN, kemungkinan GRS (Gabungan Rakyat Sabah)," katanya.
Dalam pengumuman barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada wakil dari Parti Warisan (WARISAN) diberi portfolio menteri penuh, dan kuota itu dijangka diisi dengan pelantikan jawatan timbalan menteri.
Antara nama-nama yang disebut mewakili WARISAN untuk mengisi portfolio timbalan menteri termasuklah Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal atau Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
Isnaraissah sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
BH juga difahamkan, Ahli Parlimen BN Sabah yang dijangka mengisi jawatan itu termasuklah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, yang sebelum ini menjawat portfolio Timbalan Menteri Pendidikan.
Beberapa nama lain yang turut disebut-sebut adalah Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy serta Ahli Parlimen Pensiangan yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.
Sementara itu, sumber itu berkata, PH dan BN juga dijangka memperoleh masing-masing seorang jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, dengan Speaker Dewan Rakyat dilantik dari kalangan bukan Ahli Parlimen.
Antara nama-nama yang dijangka mengisi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat mewakili BN adalah Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor, sementara PH pula sedang diputuskan. Ramli sebelum ini pernah membantu Speaker Dewan Rakyat mempengerusikan persidangan Parlimen.
Media hari ini melaporkan, sehingga kini dua nama yang disebut-sebut paling layak menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof.
Wan Junaidi sebelum ini tidak bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan beliau antara pemimpin senior GPS dan pernah memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Namun, kedua-duanya yang dihubungi hari ini, tidak mengetahui berkenaan spekulasi itu.
Jumaat lalu, Azhar Azizan mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang dengan Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.