Ahad, 4 Disember 2022 | 2:18pm
Datuk Rozi Mamat. - Foto fail BERNAMA
Datuk Rozi Mamat. - Foto fail BERNAMA

'Pembentukan Kabinet tidak mampu puaskan hati semua pihak'

KUALA TERENGGANU: Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan tidak mampu memuaskan hati semua pihak, kata Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya sudah mengambil kira banyak perkara termasuk soal parti dan hierarki serta kemahiran, wilayah, kaum dan agama, sebelum melantik Ahli Parlimen membarisi anggota Kabinetnya.

Katanya, Ahli Parlimen Tambun itu tentunya berhadapan laluan sukar untuk membentuk barisan Kabinet berikutan gabungan Kerajaan Perpaduan dianggotai banyak parti.

"Pembentukan Kabinet bukanlah sesuatu yang mudah, terutama untuk memuaskan hati semua pihak," katanya melalui catatan di Facebook hari ini.

Rozi berkata UMNO Bahagian Hulu Terengganu mengucapkan tahniah di atas pelantikan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

"Seluruh pimpinan parti di UMNO Bahagian Hulu Terengganu turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin UMNO iaitu Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohammad Hassan; Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Azalina Othman Said serta Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di atas pelantikan sebagai Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan.

"Kita mendoakan supaya dipermudahkan segala urusan pimpinan negara dan semoga pembentukan barisan Kabinet baharu akan memulihkan ekonomi dan kestabilan politik negara," katanya.

Berita Harian X