KUALA LUMPUR: Ketika persidangan Parlimen sesi pertama di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan bakal berlangsung dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi, spekulasi makin kencang berhubung pelantikan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Sehingga kini dua nama yang disebut-sebut paling layak menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof.
Mohamad Ariff mempunyai pengalaman menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama tempoh 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Difahamkan, esok adalah hari terakhir bagi pemakluman dan pemberian notis berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat sebelum persidangan Parlimen berlangsung 19 Disember ini.
Justeru, calon Yang Dipertua Dewan Rakyat sepatutnya sudah dihubungi bagi mendapatkan persetujuan dalam lantikan ke jawatan terbabit.
Bagaimanapun kedua-dua nama yang disebut-sebut itu ketika dihubungi BH memaklumkan belum mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara berkenaan.
Wan Junaidi yang sebelum ini pernah menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, berkata beliau tidak dihubungi Dewan Rakyat mengenai hal terbabit sehingga kini.
"Mana ada... syarat orang yang dilantik sebagai Yang Dipertua mesti dihubungi kerajaan sebelum Parlimen bersidang sama ada beliau bersetuju atau tidak.
"Selain itu, berdasarkan syarat di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang layak menjadi Ahli Parlimen juga layak menjadi Yang Dipertua.
"Apabila seseorang itu layak, beliau akan dihubungi dahulu sama ada bersetuju atau tidak, jika bersetuju akan dihantar surat, mesti ada rekod.
"Sepatutnya seseorang yang dicadangkan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sudah dihubungi dalam tempoh ini namun saya tidak dimaklumkan apa-apa," katanya.
Pada PRU15 lalu, Wan Junaidi tidak mempertahankan kerusi Santubong yang diwakilinya sejak 2004.
Jumaat lalu, Azhar Azizan mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang dengan Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.
Pada masa sama Wan Junaidi berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dilantik perlulah seseorang yang berkecuali dalam politik .
Beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan, seseorang Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak tamat perkhidmatannya dengan pembubaran Parlimen sebaliknya tugasnya hanya berakhir dengan adanya pelantikan baharu.
Sementara itu, Mohammad Ariff pula berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berhubung pelantikan jawatan itu sehingga kini dan meminta menunggu hingga Isnin.
"Kena tunggu esok... esok hari terakhir disampaikan notis kepada Setiausaha (Dewan Rakyat)... saya tiada maklumat tunggulah dapat maklumat," katanya.