KUALA LUMPUR: Persatuan Hospital Swasta Malaysia menggesa langkah segera diambil di bawah pimpinan baharu Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kekurangan jururawat di hospital swasta yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr Kuljit Singh, berkata kekurangan itu menjejaskan dari sudut kelewatan kemasukan pesakit dan akhirnya ia menambah bebanan kepada hospital kerajaan yang difahamkan turut menghadapi masalah yang sama.
Katanya, selain itu latihan dan proses bagi memudahkan pengambilan lebih ramai jururawat juga perlu diambil kira dalam sekolah kejururawatan tempatan.
"Di samping itu, perlu ada usaha segera untuk meminta jururawat asing dibawa masuk ke negara ini tidak kira sama ada mereka mendapat latihan khusus pasca asas.
"Ini memandangkan negara lain di rantau ini menawarkan pakej yang lebih baik kepada jururawat di sini untuk bekerja di negara mereka dan ini dilihat akan memberi kesan kepada penjagaan kesihatan negara," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Katanya, selain itu kekuatan hospital swasta yang sejak dulu diakui dalam membantu kerajaan menguruskan pesakit menunggu rawatan melebihi masa munasabah melalui perkongsian awam-swasta juga perlu diperkukuh dan diteruskan kerana ia berjaya dijalankan semasa kemuncak pandemik.
"Selain itu, hospital swasta juga mempunyai infrastruktur untuk saringan penyakit terutamanya penyakit tidak berjangkit.
"Justeru sebagai langkah segera, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, harus mempertimbangkan sumber luar kepada hospital swasta untuk mengawal komplikasi penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat.
"Secara tidak langsung, tumpuan lebih akan diberikan kepada pengukuhan sistem penjagaan kesihatan awam tanpa gangguan kepada sistem penjagaan kesihatan swasta semasa dalam menguruskan pesakit yang mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta," katanya.
Dr Kuljit berkata, hospital swasta juga bersedia bekerjasama dengan KKM untuk menguruskan beberapa jurang dalam akses awal kepada penjagaan kesihatan awam dengan kadar yang berpatutan.
Antara inisiatif dilakukan ialah IHH Healthcare Malaysia menawarkan 500 pesakit rawatan kanser percuma kepada pesakit terpilih dari sektor awam, baru-baru ini.