KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dinasihat supaya berhenti bernostalgia dan perlu menerima hakikat kemenangan di 73 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak mampu untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata ia kerana pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu memerlukan majoriti mudah dengan bilangan sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen.
Beliau antara lain menyangkal dakwaan PN, Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan minoriti, sebaliknya menjelaskan pembentukannya membabitkan sokongan 148 Ahli Parlimen.
Ia membabitkan 82 dari Pakatan Harapan (PH), diikuti 30 wakil Barisan Nasional (BN); 23 wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS); enam wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS); tiga wakil WARISAN; dua wakil BEBAS serta masing-masing satu wakil dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
"Tidakkah dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri mewakili PH, manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS) sebagai Timbalan Perdana Menteri, menunjukkan kerajaan ini mempunyai angka 82, 30 dan 23 menjadikan totalnya 135 Ahli Parlimen.
"Apabila dilantik lagi menteri mewakili GRS, keseluruhan semua 141. Itu belum dikira WARISAN, PBM, KDM dan BEBAS, semuanya 148 Ahli Parlimen, telah mencapai dua pertiga majoriti," katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
BH Khamis lalu, melaporkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kerajaan baharu bukannya Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan minoriti kerana tiada parti mempunyai kerusi cukup untuk membentuk kerajaan.
Sementara itu, Khairuddin berkata, GPS dan GRS sebelum ini menyokong PN dengan anggapan BN bersedia membentuk kerajaan bersama gabungan berkenaan.
Namun, katanya, GPS dan GRS beralih menyokong Kerajaan Perpaduan apabila menyedari ia hanyalah sokongan daripada beberapa wakil rakyat BN yang didakwa 'dicuri dari pintu belakang'.
"Sekiranya PN masih belum berpuas hati, 19 Disember ini menunggu mereka untuk mengusulkan sesuatu di Parlimen. Sementara itu, terimalah keputusan pembentukan Kerajaan Perpaduan ini.
"Jika masih mahu menubuhkan kerajaan pujuklah BN menerusi pintu depan, lalu akan diikuti GPS dan GRS namun berbangkit persoalan bolehkah kerajaan berkenaan stabil atau mengulangi pergolakan 2020-2022?" katanya.