Sabtu, 3 Disember 2022 | 7:40pm

Saifuddin bukan nama baharu dunia politik

KUALA LUMPUR: Meskipun kini membarisi kepemimpinan tertinggi PKR, nama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebenarnya bukan asing dalam dunia politik negara termasuklah ketika bersama UMNO.

Setiausaha Agung PKR itu juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan pada 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kini, beliau diberi kepercayaan untuk membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Dalam Negeri.

Dari segi latar belakang, bekas Ahli Parlimen Machang itu mendapat pendidikan di Tamagawa Gakuen di Tokushima, Jepun dan mendapatkan Sijil Pengurusan Latihan. Selain itu beliau menerima Sarjana Sains (Agronomi) dari Universiti Putra Malaysia.

Walaupun mempunyai jawatan tinggi di PKR, Saifuddin sebenarnya pernah menjawat pelbagai jawatan dalam UMNO iaitu sebagai EXCO Pemuda UMNO, selain Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia dan Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN) sebelum dipecat oleh Dr Mahathir pada 1998.

Beliau antara sebahagian pemuda UMNO yang mengadakan demonstrasi dari Masjid Negara ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Malah Saifuddin juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Luar Malaysia iaitu Tan Sri Syed Hamid Albar.

Pada Januari 2010, Saifuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR, menggantikan Salehuddin Hashim. Empat tahun kemudian Saifuddin mengosongkan jawatan berkenaan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti namun kalah kepada Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau sekali lagi dilantik ke jawatan Setiausaha Agung PKR pada November 2016, kali ini untuk menggantikan Rafizi Ramli.

PROFIL

Saifuddin Nasution Ismail

Tarikh lahir: 7 Disember 1963

Umur: 59 tahun

Tempat lahir: Singapura

Jawatan: Menteri Dalam Negeri

Pendidikan:

* Sijil Pengurusan Latihan Tamagawa Gakuen, Tokushima Jepun

* Sarjana Sains (Agronomi) dari Universiti Putra Malaysia

Jawatan politik pernah disandang:

* Exco Pemuda UMNO, Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia

* Setiausaha Pemuda Barisan Nasional

* Setiausaha Politik Tan Sri Syed Hamid Albar (bekas Menteri Luar)

* Setiausaha Agung PKR

* Ahli Parlimen Machang, Kelantan

* Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak

* Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Kedah

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh sepenggal berkuat kuasa hari ini. - BERNAMA
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh sepenggal berkuat kuasa hari ini. - BERNAMA
Berita Harian X