Sabtu, 3 Disember 2022 | 7:01pm
(Dari kiri) Anwar, Zahid dan Fadillah. - Foto NSTP dan BERNAMA
(Dari kiri) Anwar, Zahid dan Fadillah. - Foto NSTP dan BERNAMA

Pilih terus kritik Kabinet atau kerjasama pacu ekonomi, tumpu masalah rakyat

Akhirnya teka-teki terjawab. Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pelbagai pujian dan kritikan.

Ada menganggapnya sebagai Kabinet seimbang dan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin tetapi ada juga menyatakan tidak puas hati dengan barisan Jemaah Menteri baru diumumkan ini.

Di media sosial contohnya, terdapat pelbagai komen dari warganet mengkritik, menyindir dan merasakan diri mereka tertipu.

Bahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tegas menjelaskannya sebagai Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah.

Tidak salah Presiden BERSATU itu menyuarakan pandangannya, namun pendapat itu boleh dianggap terlalu awal dan lebih menggambarkan kekecewaannya nampaknya masih belum terubat lagi.

Sememangnya bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Itu bukanlah tugas Perdana Menteri.

Mungkin ramai merasakan Anwar mempunyai pilihan tokoh lain lebih mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai menteri.

Namun perlu diingatkan kerajaan diketuai Anwar bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pastinya beliau mempunyai lebih kuasa untuk menentukan sendiri siapakah barisan menterinya. Ini Kerajaan Perpaduan yang pemilihan Kabinet berdasarkan faktor kestabilan politik sebagai teras utama pembentukan.

Dalam persefahaman Kerajaan Perpaduan ini, Perdana Menteri dan semua ketua parti dalam bersepakat dan bersetuju senarai calon jemaah menteri ditentukan parti masing masing.

Mungkin kita perlu melihat perspektif lebih luas. Jika dahulu parti atau gabungan ini bermusuh, namun kali ini, demi kesejahteraan rakyat, mereka sanggup mengetepikan ego dan bekerjasama atas semangat memperbaiki dan menaikkan semula nama negara.

Dalam membincangkan isu ini, kita tidak boleh lari daripada sebilangan keluh-kesah rakyat tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagi pihak pembangkang khasnya, ini senjata boleh dimanfaatkan untuk menyerang kerajaan, manakala ada antara penyokong PH Harapan mempersoalkan mengapa Anwar perlu membuat keputusan memilih Ahmad Zahid yang masih berdepan dengan perbicaraan mahkamah.

Dalam hal ini, Anwar memberi jaminan kerajaan pimpinannya tidak akan campur tangan dalam kes Ahmad Zahid dan biarlah mahkamah menentukannya. Kesucian dan integriti sistem kehakiman mesti dipertahankan.

Perlu diingatkan selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tidak ada gabungan mendapat majoriti hingga menimbulkan keresahan rakyat. Mujurlah ketegasan dan keputusan Ahmad Zahid membantu dalam menyelamatkan keadaan hingga terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Dalam isu ini, ada penganalisis politik merasakan Anwar terpaksa berdepan dua dilema besar, iaitu mempertahankan pendirian atau membuat keputusan berisiko demi kestabilan politik serta pentadbiran.

Ternyata Anwar berjiwa besar apabila begitu komited dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong mencadangkan Kerajaan Perpaduan dibentuk. Perlu diingatkan cadangan itu ditolak dahulu oleh PN, tetapi mendapat sokongan dan dukungan parti lain.

Sekarang kita ke persoalan, apakah kita harapkan selepas ini? Paling utama, menangani permasalahan utama rakyat, iaitu kos sara hidup membebankan, selain usaha pemulihan ekonomi juga perlu disegerakan.

Ini adalah kerajaan tidak pernah dibentuk dalam lipatan sejarah negara. Kerajaan ini dibentuk berdasarkan realiti politik hari ini.

Kita sebagai rakyat, mempunyai beberapa pilihan. Pertama, terus mengkritik dan mencari setiap kelemahan serta kesilapan kerajaan baru dibentuk, tanpa memberikan saranan dan pandangan berfaedah.

Kedua, memberikan peluang sewajarnya dan sama-sama bekerjasama agar kerajaan dibentuk dapat terus memacu pertumbuhan ekonomi menumpukan permasalahan rakyat.

Pastinya kita berharap, segala usaha ini akhirnya akan membawa kesejahteraan negara.

Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan MPM (Majlis Perundingan Melayu)

Berita Harian X