KUALA LUMPUR: Menteri Urusan Undang-Undang dan Reformasi Institusi yang baru dilantik, Datuk Seri Azalina Othman Said komited untuk menyemak semula undang-undang lapuk sedia ada untuk dipinda agar relevan pada masa kini.
Ahli Parlimen Pengerang, Johor itu berkata beliau mahu memastikan isu berkaitan undang-undang dan reformasi institusi yang tertunggak, termasuk berkaitan isu status kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara yang mana ibu adalah warganegara Malaysia.
"Jika perlu, undang-undang yang sedia ada dipinda untuk mengembalikan hak kesaksamaan kepada rakyat yang terpinggir mengikut lunas-lunas Perlembagaan Malaysia dan yang tidak diberi layanan sama rata di negara kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yakin banyak cabaran yang bakal dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan mengambil kira kemelesetan ekonomi dan kesan Pandemik COVID-19 yang dijangka berlarutan sehingga tahun 2023.
"Namun begitu, saya amat mengharapkan kerjasama yang baik semua wakil rakyat daripada pelbagai parti untuk menangani cabaran ini," katanya.
Azalina turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peluang yang diberi sebagai anggota Kabinet yang baharu.
Selain itu Azalina turut mengucapkan penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional Datuk, Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah mengutamakan pembangunan negara dan mengetepikan politik kepartian bagi membolehkan pembentukkan Kerajaan Perpaduan.
"Saya juga ingin mengucapkan ruibuan terima kasih kepada semua pengundi di Parlimen Pengerang kerana sekali lagi memberi saya peluang untuk berkhidmat," katanya.