Sabtu, 3 Disember 2022 | 6:28pm
Barisan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang baharu (duduk dari kanan) Menteri Agama Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh Tseow Suan, Menteri Sumber Manusia, V N Sivakumar, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali menandatangani Surat Cara Pelantikan selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Bekalan ubatan, infrastruktur keperluan hospital, doktor siswazah tumpuan Dr Zaliha

JOHOR BAHRU: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, mahu memberi tumpuan terhadap isu perbekalan ubatan, infrastruktur, keperluan kesihatan dan hospital serta penempatan doktor siswazah.

Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, isu berkenaan harus diberi perhatian semula dalam meningkatkan sektor kesihatan negara.

"Urusan lazim harian Kementerian Kesihatan seperti isu perbekalan ubat-ubatan, isu infrastruktur dan pelbagai keperluan kesihatan dan hospital selain isu penempatan doktor siswazah wajar difokuskan.

"Selain itu, hala tuju pakar yang seimbang, isu perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan memenuhi keperluan rakyat, isu golongan marginal, isu kesihatan mental juga harus diberi perhatian kembali.

Dr Zaliha Mustafa. - Foto BERNAMA
Dr Zaliha Mustafa. - Foto BERNAMA

"Sudah pasti keutamaan terdekat adalah meneliti persiapan Belanjawan 2023 yang akan dibentang dalam sidang parlimen bermula pada 19 Disember 2022 nanti. Mudah-mudahan sektor kesihatan akan diberikan peruntukan yang menyeluruh dan memenuhi keperluan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zaliha yang mewakili Pakatan Harapan (PH) adalah antara 28 Jemaah Menteri yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut memahami keterujaan ramai dengan lantikan itu kerana tidak sampai 24 jam selepas pengumuman Perdana Menteri, beliau dihujani dengan pelbagai cadangan pembaikan sektor kesihatan negara.

"Bagi saya ini adalah petanda yang baik bahawa rakyat memberi perhatian besar kepada perkhidmatan kesihatan yang menjadi keperluan asas kepada semua golongan.

"Saya mengharapkan sokongan dan dukungan penjawat awam dan pakar pengamal perubatan yang amat dedikasi dalam menjayakan setiap perancangan yang direncana kelak.

"Pengalaman, kepakaran, dan kecekalan penjawat awam dan pakar pengamal perubatan sudah pasti amat diharapkan agar sektor kesihatan di negara ini mampu menyaingi perkhidmatan negara-negara maju yang lain," katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, perlantikannya sebagai Menteri Kesihatan adalah suatu amanah besar yang diberikan kepadanya.

"Alhamdulillah petang ini selesai istiadat angkat sumpah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Memegang portfolio kesihatan adalah sesuatu yang dekat di hati saya. Alhamdulillah Perdana Menteri ke-10 telah mendengar luahan akar umbi dan rakyat supaya potfolio ini disandang oleh seorang pengamal perubatan, dan perkara ini telah pun ditunaikan.

"Saya yakin Kementerian ini amat penting kerana menjadi fokus utama rakyat Malaysia khususnya di era pasca pandemik COVID-19," katanya.

Berita Harian X