KUALA LUMPUR: Pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ke dalam Kabinet adalah hasil situasi tawar-menawar dan kompromi dalam konteks Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mengutamakan rundingan dalam politik untuk kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Zaharul Abdullah, berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pastinya menjangkakan situasi terbabit, sekali gus terpaksa 'mengikat tangan' dalam pembentukan Kabinet sehingga menyaksikan Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Meskipun Perdana Menteri berkuasa melantik Kabinet, pelantikan Jemaah Menteri memerlukan perundingan, tawar-menawar dan kompromi antara ketua parti gabungan dalam kerajaan.
"Oleh kerana Kerajaan Perpaduan terbentuk disebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), sudah tentu Ahmad Zahid mempunyai kuasa tawar-menawar besar dalam perundingan itu.
"Anwar memahami dan menjangkakan situasi ini. Ia adalah kompromi yang perlu dibuat untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.
"Tangan beliau tidak 'diikat' BN tetapi Anwar yang 'mengikat tangan' sendiri," katanya kepada BH, di sini.
Pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang mengisi barisan 28 Jemaah Menteri diumumkan Perdana Menteri semalam, menimbulkan polemik apabila ada pihak tidak berpuas hati susulan Ahmad Zahid masih berdepan kes mahkamah.
Zaharul berkata, dalam konteks Kerajaan Perpaduan, rakyat tidak boleh mendapat kedua-dua manfaat iaitu Anwar sebagai Perdana Menteri dan Kabinet yang 'bersih' sepenuhnya.
Realiti politik itu, tegasnya, perlu difahami rakyat dan semua pihak yang perlu memfokuskan manfaat lebih besar iaitu reformasi ekonomi dan institusi yang lebih mendesak.
"Kehadiran Ahmad Zahid dalam kerajaan penting untuk menjamin kestabilan yang menjadi kunci pemerintahan.
"Bagaimanapun, Anwar perlu memastikan reformasi institusi yang bakal dilaksanakan tidak dikompromi oleh mana-mana pihak walaupun rundingan dan konsensus itu penting dalam pelaksanaan mana-mana dasar.
"Lebih penting bagi Anwar ketika ini ialah memisahkan jawatan dan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya. Ia penting supaya kerajaan dilihat tidak campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan Ahmad Zahid dan pemimpin politik lain," katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid, berkata rundingan politik dan keperluan untuk bersama supaya BN tetap menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri membolehkan keperluan Ahmad Zahid dilantik Timbalan Perdana Menteri.
Mengenai beberapa pemimpin lain yang mempunyai kes mahkamah dan tidak dilantik seperti Lim Guan Eng dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Kartini berkata, peranan Guan Eng tidak diperlukan kerana saiz Kabinet dan pembabitan DAP dikecilkan.
"Mungkin Syed Saddiq tidak dipilih kerana Anwar masih mengingati kedegilan beliau ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan apa yang berlaku di Larkin (pertindihan kerusi)," katanya.