KUALA LUMPUR: Isu tenaga kerja membabitkan lantikan jawatan tetap doktor kontrak dan infrastruktur penjagaan kesihatan luar bandar perlu menjadi keutamaan untuk ditangani oleh Menteri Kesihatan baharu, Dr Zaliha Mustafa.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata pelaburan dalam kedua-dua sumber manusia dan infrastruktur penjagaan kesihatan perlu dirancang sekarang demi kesejahteraan perkhidmatan kesihatan awam negara bagi tempoh jangka panjang.
Atas dasar itu, katanya, MMA mengharapkan Dr Zaliha yang berpengalaman sebagai doktor perubatan selain dilatih dalam sistem penjagaan kesihatan, lebih cakna berhubung isu melanda sistem kesihatan negara.
"MMA mengalu-alukan pelantikan Dr Zaliha sebagai Menteri Kesihatan dan sebagai individu berpengalaman dalam profesion kedoktoran, Dr Zaliha akan mengetahui isu di lapangan dalam kedua-dua penjagaan kesihatan awam dan swasta.
"Pembaharuan penjagaan kesihatan mesti terus menjadi keutamaan dan kami berharap untuk melihat penambahbaikan yang diperlukan dijalankan di bawah kepimpinan baharu khususnya mengenai isu tenaga kerja dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
"Isu doktor kontrak akan menjadi salah satu isu utama yang kami akan minta Dr Zaliha untuk diselesaikan. Kami berharap bilangan jawatan tetap yang diberikan bagi setiap tahun bagi doktor kontrak dapat ditingkatkan daripada 1,500 sekarang.
"Ini kerana, dianggarkan terdapat 18,000 doktor kontrak dalam sistem dengan kira-kira 3,000 graduan perubatan memasuki sistem setiap tahun," katanya melalui kenyataan, di sini.
Dr Zaliha yang mewakili Pakatan Harapan (PH) adalah antara 28 Jemaah Menteri yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, Dr Muruga berkata, usaha ke arah model pembiayaan penjagaan kesihatan yang lebih mampan juga wajar menjadi antara keutamaan kementerian berikutan keperluan penjagaan kesihatan penduduk semakin meningkat.
Beliau berkata, akses penjagaan kesihatan khususnya di kawasan luar bandar di negara ini juga perlu dipertingkatkan dengan lebih peruntukan perlu diberi dalam aspek itu melalui pembentangan semula Bajet 2023.
"Lebih ramai pakar juga diperlukan terutamanya dalam penjagaan geriatrik kerana populasi penuaan kita dijangka meningkat sebanyak 15 peratus dalam masa kurang daripada 10 tahun.
"Sebagai persediaan, pelaburan dalam kedua-dua sumber manusia dan infrastruktur penjagaan kesihatan perlu dirancang sekarang untuk jangka panjang," katanya.
Beliau berkata, strategi pencegahan yang lebih berkesan juga diperlukan untuk menangani peningkatan kes Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dengan meneroka lebih banyak usaha kolaboratif membabitkan 8,000 pakar perubatan swasta di seluruh negara.
"MMA akan menulis surat kepada Dr Zaliha dan berharap dapat bertemu dengannya tidak lama lagi untuk menangani semua kebimbangan ini," katanya.